KPM beri amaran jangan potong duit BAP

Iklan
Fadhlina (empat dari kanan) menyampaikan BAP kepada salah seorang murid di Majlis Penyerahan Cek Cura BAP kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Barakbah, Nibong Tebal pada Selasa.

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi amaran tegas kepada semua pihak sekolah supaya tidak membuat sebarang potongan terhadap Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 yang diperuntukkan khusus oleh Kerajaan Madani kepada setiap murid bagi persiapan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bantuan tersebut mesti diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapa atau penjaga tanpa sebarang pengurangan, walaupun melibatkan jumlah yang kecil.

Iklan
Iklan

"Ini peringatan yang kita berikan saban tahun kerana RM150 ini memang diperuntukkan khusus untuk persiapan sekolah.

"Ia tidak boleh dipotong atas apa-apa alasan dan mesti diterima sepenuhnya oleh ibu bapa,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Cura BAP kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Barakbah di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, sekiranya terdapat isu lain melibatkan yuran atau bayaran tambahan seperti yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), perkara itu perlu diselesaikan melalui kaedah berasingan dan tidak boleh dikaitkan dengan bantuan RM150.

“Kalau ibu bapa terima kurang daripada RM150, walaupun kurang 10 sen atau RM1, mereka perlu maklumkan kepada kami. Bantuan ini tidak boleh berkurang.

Iklan

"Ibu bapa juga diminta supaya melaporkan kepada kita (KPM) sekiranya terdapat guru atau pentadbiran sekolah yang membuat potongan terhadap bantuan berkenaan," ujarnya lagi.

Mengulas isu yuran PIBG, Fadhlina berkata, sebarang bantahan perlu disuarakan secara rasmi melalui mesyuarat PIBG dan bukannya di media sosial.

“Kalau tidak setuju yuran PIBG, ibu bapa kena hadir mesyuarat, angkat tangan dan bantah.

"Kalau tidak datang mesyuarat, kemudian komen di Facebook saya, kita tidak tahu sama ada mereka terlibat atau tidak,” katanya.

Tambah beliau, pihak sekolah termasuk guru, pentadbir dan pengetua perlu peka terhadap latar belakang keluarga murid serta mengenal pasti mereka yang kurang berkemampuan untuk dibantu.

“Di sekolah kita ada 18 jenis bantuan. Kalau ibu bapa tak mampu beli uniform atau ada isu berkaitan persediaan sekolah, maklumkan kepada guru.

"Kita ada bantuan-bantuan itu untuk sama-sama membantu anak-anak ini," katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina mengingatkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang diluluskan tahun lalu mewajibkan semua kanak-kanak mengikuti pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah.

“Sekolah rendah hingga menengah kini adalah wajib. Jadi, tiada lagi alasan untuk anak-anak tidak pergi ke sekolah,” katanya.

Mengulas mengenai proses pemberian BAP di seluruh negara, Fadhlina berkata, setakat ini ia berjalan lancar tanpa sebarang isu berbangkit.

“Setakat ini, proses pemberian berjalan dengan sangat lancar. Ibu bapa boleh mengambil bantuan di sekolah dan kebetulan minggu ini ramai yang mengambil cuti untuk menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya.

Menurut beliau, kehadiran ibu bapa ke sekolah bukan sahaja memudahkan penyerahan bantuan RM150, malah membuka ruang perbincangan secara langsung antara ibu bapa dan guru berkaitan pelbagai isu pendidikan.

“Kesempatan ini kita gunakan bukan sahaja untuk menyerahkan RM150 tetapi untuk berbincang isu-isu pendidikan antara ibu bapa dan guru. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM menyasarkan proses pengagihan bantuan tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin memandangkan jumlah sekolah yang terlibat adalah besar.

“Kita berharap dapat selesaikan agihan ini secepat hujung minggu ini kerana terdapat kira-kira 10,000 sekolah yang terlibat dan perlu diselesaikan dalam tempoh minggu ini,” ujarnya.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan lebih RM800 juta bagi pelaksanaan BAP tahun ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.