SHAH ALAM - Tiga kesalahan utama berkaitan lalu lintas diterima Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi aduan di aplikasi MyJPJ sepanjang dua minggu Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 6,687 aduan diterima pihaknya pada operasi terbabit bermula 24 Mac hingga 8 April.
Menurutnya, data menunjukkan tiga kesalahan utama yang tertinggi ialah memotong barisan (1,766 kes), memandu di lorong kecemasan (1,625 kes) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843 kes).
"Aduan dibuat pengguna jalan raya dengan mengambil gambar dan video (pesalah) sebelum memuat naik di aplikasi MyJPJ.
"Kita telah keluarkan notis temu siasat untuk pemilik kenderaan terbabit tampil di mana-mana JPJ terdekat," katanya ketika sidang akhbar Op Khas HRA di Plaza Tol Kota Kemuning di sini pada Selasa.
Beliau berkata, jumlah aduan yang direkodkan sepanjang operasi khas itu merupakan paling tinggi berbanding bulan lain sekali gus menunjukkan keprihatinan pengguna jalan raya.
Tambahnya, Op Khas HRA ini juga melaksanakan pemeriksaan sebanyak 12,732 bas di 54 buah depoh dan 28 terminal utama di seluruh negara.
"JPJ telah mengeluarkan 1,294 notis dan 366 notis dikeluarkan melalui penguatkuasaan melalui penyaraman sebagai penumpang.
"Anggota akan berada di dalam bas bergerak dan mendapati antara kesalahan dikesan ialah pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tiada pemandu kedua serta gunakan laluan kanan secara berterusan," ujarnya.
Tegasnya, dengan langkah penyamaran dan bukti yang direkodkan ini, pemandu bas akan mengakui kesalahan dilakukan mereka.
Mengulas lanjut mengenai Op Khas HRA di seluruh negara, Aedy memaklumkan, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 61,317 notis atas pelbagai kesalahan ke atas kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
"Daripada jumlah itu, 511 kenderaan telah disita hasil pemeriksaan 287,802 kenderaan di 353 kawasan hotspot.
"Kesalahan paling tinggi ialah berkaitan pelesenan kenderaan (17,010 kes), pelesenan pemandu (11,804 kes), teknikal (7,650 kes) dan selebihnya lain-lain kesalahan," ujarnya.
Katanya lagi, ujian saringan air kencing juga mendapati 14 positif dadah hasil 1,492 saringan terhadap pemandu.