PENDEDAHAN mengejutkan mengenai punca kematian Zayn Rayyan Abdul Matin, seorang kanak-kanak autisme, sekali lagi menyentap hati rakyat Malaysia.
Zayn bukan sahaja dijerut sehingga mati, malah turut mengalami kecederaan fizikal dan seksual akibat objek tumpul yang dimasukkan ke bahagian dubur serta kesan lebam di lelangit mulut akibat kemasukan paksa objek asing.
Itu antara pendedahan yang dibuat oleh Pakar Perubatan Perunding Forensik Jusa C (M), Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor, Dr Rohayu Shahar Adnan ketika perbicaraan kes pengabaian mangsa, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Bagaimanapun beliau berkata, benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana punca kematiannya bukan tercekik.
Kes melibatkan anak istimewa ini menjadi perhatian ramai pihak kerana ia menggambarkan realiti yang boleh terjadi dalam ruang paling selamat – rumah sendiri.
Dalam isu ini, peranan ibu bapa amat penting kerana cabaran menjaga kehidupan kanak-kanak autisme berbeza.
Mereka memerlukan penjagaan rapi, pengawasan penuh kasih sayang dan perhatian yang tinggi.
Selain ibu bapa, masyarakat dan institusi berkepentingan juga perlu membantu bagi memastikan keselamatan dan sistem perlindungan anak-anak di negara ini terjamin.
Namun begitu, persoalannya bagaimana kerajaan perlu memastikan sistem keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terutama golongan autisme terjamin seiring dengan perkembangan semasa.
Kes penderaan kanak-kanak bukan sesuatu yang luar biasa malah, sudah sering berlaku termasuk di negara ini. Jika dibiarkan lebih ramai nyawa anak yang tidak berdosa akan menjadi mangsa.
Justeru dari segi perlindungan keselamatan, amat penting undang-undang sedia ada seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dikuatkuasakan secara menyeluruh.
Pelaksanaan hukuman yang tegas pada pelaku juga dapat membantu dalam mengurangkan kes-kes seperti ini.
Selain itu, di peringkat komuniti, kempen kesedaran tentang penderaan sama ada fizikal, emosi dan seksual terhadap kanak-kanak perlu diperkasa.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan ibu bapa dan masyarakat memahami penjagaan anak istimewa sekali gus dapat mengelakkan kejadian sama berulang.