SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyokong dasar kerajaan dalam melaksanakan sistem e-Invois sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kecekapan percukaian dan meningkatkan pematuhan dalam ekosistem ekonomi digital negara.
Ketua Penyelidik MTEM, Azlan Awang berkata, walaupun MTEM menyokong matlamat jangka panjang itu, MTEM ingin menarik perhatian kerajaan terhadap beberapa cabaran mendesak dalam pelaksanaannya yang bakal mengancam kelangsungan perniagaan mikro terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera.
Beliau berkata, bagi memudahkan peralihan, kerajaan telah meluluskan penangguhan pelaksanaan e-Invois sehingga 1 Julai 2026, berserta tempoh transisi selama enam bulan kepada peniaga yang mencatat jualan tahunan antara RM150,000 hingga RM500,000.
"Kelonggaran ini hanya terpakai kepada jualan fizikal dan tidak melibatkan perniagaan dalam talian (online). MTEM menganggap perbezaan peraturan ini sebagai amat tidak wajar memandangkan semua perniagaan kecil patut dilindungi di bawah kawal selia yang sama tanpa mengira di mana mereka beroperasi.
"Penangguhan sebelah pihak ini tidak memberi makna atau manfaat kepada peniaga kecil yang menjalankan perniagaan secara hibrid fizikal dan e-dagang sekali gus mewujudkan ketidakadilan dari sudut dasar dan pelaksanaan.
"Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan penalti yang tinggi,” katanya.
Menurut Azlan, terdapat antara 100,000 hingga 200,000 peniaga online yang masih belum berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disebabkan hasil jualan yang terlalu kecil dan tidak konsisten, dianggarkan purata jualan hanya sekitar RM750 sebulan ataupun RM61 sehari.
"Beban pematuhan ke atas golongan ini adalah sangat tinggi dan tidak sepadan. Malah, jika jualan mereka hanya RM1 sebulan, mereka tetap diwajibkan mengeluarkan e-Invois, sedangkan peniaga fizikal tidak perlu berbuat demikian,” katanya.
Azlan berkata, kerajaan perlu risau apabila peniaga PMKS yang tidak mendaftar dengan LHDN dibatalkan akses menggunakan platform e-dagang dalam negara dan berpindah ke platform luar negara.
"Aliran wang keluar akibat dasar yang terburu-buru dan tidak inklusif ini boleh mencecah RM1.8 bilion setahun dengan penyumbang utamanya dalam kalangan PMKS bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, MTEM mendesak kerajaan memberi tempoh penangguhan serupa kepada peniaga online dan mengecualikan mereka dengan nilai jualan di bawah RM150,000 sebagaimana yang telah diberi kepada peniaga fizikal.
"Pada masa sama, kerajaan juga harus menyediakan sistem sokongan, latihan literasi digital, insentif kewangan dan prasarana teknologi yang sesuai untuk membantu golongan PMKS mengadaptasi sistem ini secara mampan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Peniaga mikro tidak bersedia
Sementara itu, jurucakap Malaysia International Chamber of Commerce & Industry, Hafidzi Razali berkata, cadangan melaksanakan e-Invois akan memberi kesan terhadap margin keuntungan PMKS berikutan ketidaksediaan dan kekurangan kemahiran digitalisasi.
Menurutnya, jika pelaksanaan tersebut dilakukan ia akan memberi kesan negatif terhadap persaingan perniagaan atas talian terutama mereka yang mempunyai jumlah pendapatan rendah.
"Mereka juga keliru mengapa e-Invois ini hanya terpakai kepada beberapa kumpulan sahaja kerana ada yang menjalani perniagaan fizikal tidak perlu melaksanakan e-Invois walaupun menjual barang serta memperoleh pendapatan sama.
"Ia perlu dilaksanakan secara sama rata dan tidak boleh mengikut kategori berlainan selain memerlukan lebih banyak fleksibiliti untuk mendidik mereka.
"Masalah utama apabila kerajaan sendiri tidak konsisten dan tiada jangkaan mengenai pelaksanaan polisi ini. Kita khuatir ia akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan peniaga kecil,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Hafidzi, bagi mengatasi masalah tersebut kerajaan perlu mengambil pendekatan proaktif dalam mendidik masyarakat mengenai perniagaan digital untuk membentuk persaingan perniagaan lebih kompetitif.
Jelasnya, bagi menangani masalah tersebut kerajaan juga disaran memberi fokus kepada peniaga PMKS online yang sudah stabil dari segi margin keuntungan dan pendapatan untuk mewujudkan keseimbangan ekosistem perniagaan mikro dengan cara melihat kategori pendapatan mereka.
"Kebanyakan peniaga ini masih tidak faham macam mana nak gunakan e-Invois sebab ada antara mereka ini memiliki perniagaan yang tidak sofistikated jadi sudah tentu akan mendatangkan kerisauan.
"Untuk menangani masalah ini, berikan dahulu pengecualian kepada kategori pendapatan tertentu.
"Lantai pendapatan yang perlu diguna pakai oleh e-Invois juga boleh ditingkatkan selagi tidak ada penyelarasan kepada peniaga fizikal dan atas talian,” ujarnya.
Wujud mekanisme lebih fleksibel
Sementara itu, menurut pemain industri platform e-dagang, jika peniaga mikro memilih untuk tidak aktif dalam perniagaan online ia berkemungkinan menyebabkan mereka akan jauh ketinggalan dalam arus perkembangan ekonomi digital.
Jelasnya, pelaksanaan dasar itu masih mempunyai kelemahan ketara, khususnya dari segi penyelarasan pelaksanaan dan kesediaan industri kerana terdapat kekurangan ruang untuk menyemak polisi secara responsif apabila dibangkitkan oleh pemain industri.
Tambahnya, situasi tersebut akan menyebabkan peniaga kecil cenderung untuk tidak melaksanakan perniagaan atas talian dan berhijrah ke platform luar negara yang tidak tertakluk kepada e-Invois.
"Apabila mereka tidak memanfaatkan ekonomi digital secara penuh, mereka tidak akan dapat jual produk-produk mereka di atas talian yang boleh mencapai lebih ramai pelanggan.
"Sebenarnya jika seseorang peniaga memanfaatkan ekonomi digital secara optimum, mereka boleh mencapai kejayaan sama seperti pempengaruh, Khairul Aming.
"Cadangan e-Invois ini menyebabkan mereka lebih fokus kepada perniagaan fizikal dan hal ini bertentangan dengan idea ekonomi digital di mana kita perlu lebih menggalakkan perniagaan digital kerana boleh mendatangkan manfaat jangka panjang kepada mereka,” ulasnya.
Dalam pada itu, kerajaan juga perlu mewujudkan satu mekanisme fleksibel atau pelarasan dasar untuk disesuaikan dengan realiti lapangan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pemain industri, khususnya peniaga atas talian serta komuniti perniagaan luar bandar.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan layanan lebih adil kepada peniaga fizikal dan atas talian bagi mengurangkan impak negatif terhadap industri perniagaan digital negara.
Tambahnya, kerajaan tidak perlu membangunkan sistem baharu, tetapi memanfaatkan kaedah dibangunkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan LHDN.
"Kerajaan perlu mempertimbangkan pengecualian bersasar kepada peniaga kecil atas talian, terutamanya dalam aspek pematuhan terhadap keperluan teknikal e-Invois yang lebih kompleks,” katanya.