MAKASSAR - [DIKEMAS KINI] Tular di media sosial insiden 'amukan' keluarga pengantin perempuan yang bertindak 'menyerang' rumah calon suaminya.
Kejadian itu berpunca daripada uang panai (wang hantaran) setelah pengantin lelaki membatalkan kesepakatan untuk memberikan 100 juta rupiah (RM30,000) seperti dipersetujui sebelum ini.
Keluarga mempelai wanita naik berang kerana bakal pengantin lelaki masih gagal membawa uang panai untuk majlis pernikahan.
"Keluarga pengantin wanita kemudiannya berkunjung ke rumah bakal suaminya untuk bertanyakan hal tersebut. Namun, rumah itu kosong dan keluarga mentuanya juga 'hilang'. Mereka beranggapan pihak lelaki telah melanggar perjanjian," lapor media tempatan.
Mereka menjadikan rumah di Dusun Embo, Desa Turatea, Kecamatan Tamalatea di Kabupaten Jeneponto, Sulawesi Selatan di Indonesia itu sebagai sasaran untuk melampiaskan kemarahan pada malam Sabtu lalu.
Catatan di platform media sosial mendedahkan rumah tersebut dimiliki Feri Dg Situju manakala bakal pengantin lelaki adalah anak tirinya dikenali sebagai Miko.
Lelaki tersebut dipercayai membatalkan perjanjian untuk membawa uang panai kepada bakal isterinya, Putri di Jl Kelara, Kecamatan Binamu, Jeneponto.
"Pihak keluarga perempuan berasa amat malu kerana keputusan sebelah pihak tersebut kerana uang panai melambangkan nilai budaya dan kesanggupan lelaki untuk melamar bakal isterinya," menurut catatan itu lagi. - Agensi