MELAKA - Lelaki yang tular memukul pemandu kereta dengan topi keledar pada akhir Ramadan lalu dipenjara tujuh hari apabila Mahkamah Tinggi di sini meminda hukuman terhadapnya, pada Isnin.
Hakim Mahkamah Tinggi 1, Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan hukuman itu terhadap Muhammad Ariff Izzat Shahrudin,27, yang mengusahakan pusat mencuci kereta itu selepas memanggil semula kes tersebut bagi semakan kehakiman.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh, berkata, semakan itu dilakukan berdasarkan perhatian media dan reaksi awam terhadap hukuman denda RM3,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, hakim menyatakan kebimbangan terhadap keberkesanan hukuman denda tersebut sebagai satu bentuk pencegahan, khususnya dalam konteks peningkatan kes keganasan jalan raya di negara ini.
"Yang arif (hakim) menyatakan insiden seperti 'tailgating' (mengekori rapat kenderaan), 'sudden braking' (brek mengejut) dan penggunaan kekerasan secara fizikal kini semakin berleluasa.
"Kes seperti ini memerlukan tindakan mahkamah yang lebih tegas sebagai peringatan kepada masyarakat," katanya kepada media di sini pada Selasa.
Beliau yang dibantu peguam Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham berhujah bahawa hukuman denda yang dikenakan sebelum ini adalah memadai memandangkan tertuduh direman bermula dari 29 Mac hingga 4 April lalu.
"Malah ketika itu juga tertuduh tidak diwakili peguam semasa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret.
"Kami juga menghujahkan tertuduh yang beragama Islam terpaksa melalui tempoh tahanan sepanjang sambutan Aidilfitri hingga hari raya keempat yang menjadi satu bentuk tekanan dan turut memberi kesan emosinya," katanya.
Jelasnya, mangsa berusia 52 tahun yang turut hadir ke mahkamah dimaklumkan sudah memaafkan tertuduh sejak hari kejadian serta tidak membuat sebarang laporan polis berhubung insiden tersebut.
"Bagaimanapun laporan polis telah dibuat oleh anggota polis yang melihat video kejadian itu pada 27 Mac lalu sebelum kedua-dua pihak dipanggil ke balai polis pada 29 Mac," katanya.
Ujarnya, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan memaklumkan tiada arahan lanjutan untuk merayu dan mangsa sendiri menganggap hukuman denda itu memadai kerana kecederaan yang dialami hanyalah kecederaan tisu lembut.
Katanya, Hakim Anselm menegaskan denda RM3,500 tidak mencukupi sebagai pengajaran dan pencegahan kepada mana-mana pihak yang berniat untuk melakukan buli jalan raya.
"Yang Arif menegaskan keganasan di jalan raya adalah jenayah serius dan dalam kes ini tertuduh menggunakan topi keledar untuk menyerang mangsa.
"Beliau turut menyatakan bahawa mangsa bernasib baik hanya mengalami kecederaan ringan.
"Namun mengingatkan penggunaan topi keledar sebagai senjata boleh mengakibatkan kecederaan lebih parah seperti retakan pada tengkorak yang boleh membawa risiko besar kepada nyawa," katanya lagi.
Tambahnya, mahkamah turut mengambil kira mangsa juga dituduh atas kesalahan gaduh gempar mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dalam mahkamah sama dan pada hari sama.
"Selepas meneliti keseluruhan fakta dan latar belakang kes, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan jenayah dan meminda hukuman terdahulu dengan menjatuhkan hukuman penjara selama seminggu bermula semalam.
"Mahkamah juga mengekalkan hukuman denda RM3,500 yang dikenakan sebelum ini," ujarnya lagi.