GENTING GAZA - Askar Zionis sedang giat 'membersihkan' kawasan dan menubuhkan menara peninjau di beberapa bahagian di Genting Gaza selepas ia memperhebatkan kempen pencerobohan ke atas wilayah itu pada minggu lalu.
Ratusan ribu penduduk Palestin turut dipaksa berpindah di bawah arahan dikeluarkan secara berperingkat di selatan, tengah dan utara Gaza sejak operasi ketenteraan dilancarkan semula pada 18 Mac lalu.
Zakia Sami, 60, dari Bandar Gaza mendakwa unit kereta kebal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sudah merampas kawasan tinggi, al-Muntar selepas keluarganya diarah meninggalkan kediaman mereka di pinggir Sheijaya.
"Zionis sudah ditempatkan di sana dan mereka boleh membedil di Sheijaya pada bila-bila masa. Gaza adalah wilayah yang kecil dan pencerobohan Israel menjadikan kawasan yang tinggal untuk kami berlindung sangat terhad,” keluh ibu kepada enam anak itu lagi.
Menurut agensi kemanusiaan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah kawasan diletakkan di bawah arahan pemindahan paksa kini meliputi 65 peratus daripada Genting Gaza.
Di Rafah, kira-kira 140,000 penduduk Palestin terpaksa berpindah tanpa arah tuju sejak dua minggu lalu.
Pada minggu lalu, IDF mengumumkan rancangan jahat untuk menubuhkan 'zon keselamatan' yang dilihat sebagai sebahagian daripada muslihat untuk menduduki Gaza secara kekal.
Rakaman yang menjadi tular di media sosial menunjukkan kerja penggalian sedang dilakukan di beberapa lokasi termasuk meratakan kawasan pertanian serta meruntuhkan struktur untuk mewujudkan zon penampan tersebut. - Agensi