KUALA LUMPUR - Harapan untuk mencapai kejayaan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berhubung rundingan nuklear yang sedang berlangsung dengan cepat bertukar menjadi konflik terbuka pada Sabtu apabila serangan ketenteraan dan serangan balas mencetuskan gangguan meluas di Timur Tengah, sekali gus mendorong gesaan antarabangsa supaya semua pihak menahan diri.
Pada Jumaat, Anadolu Ajansi melaporkan Menteri Luar Oman Sayyid Badr Albusaidi berkata rundingan nuklear AS-Iran mencapai persetujuan mengenai"sifar simpanan” uranium diperkaya, menyifatkannya sebagai"sesuatu yang benar-benar baharu” berbanding perjanjian nuklear sebelum ini yang dirundingkan di bawah bekas Presiden AS, Barack Obama.
"Pencapaian tunggal paling penting saya percaya adalah persetujuan bahawa Iran tidak akan sekali-kali memiliki bahan nuklear yang boleh menghasilkan bom,” kata Albusaidi kepada CBS, sambil menyatakan keyakinan bahawa perjanjian damai mampu dicapai sekiranya diplomasi diberi"ruang yang diperlukan”.
Kedua-dua pihak sepatutnya mengadakan rundingan teknikal pada minggu depan.
Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump mengambil pendekatan berhati-hati dengan berkata Washington berdepan"keputusan besar yang perlu dibuat” berhubung Iran, sambil menyatakan beliau"tidak berpuas hati” dengan perkembangan rundingan dan tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan.
Dalam tempoh beberapa jam, Israel melancarkan apa yang disifatkannya sebagai"serangan awal” terhadap Iran. Letupan kuat dilaporkan di seluruh Tehran dan beberapa bandar lain, termasuk Isfahan, Qom, Karaj dan Kermanshah, sekali gus mendorong pihak berkuasa Iran menutup keseluruhan ruang udara negara itu sehingga diberitahu kelak.
Menurut pegawai Iran, AS turut menyertai serangan itu dengan serangan dilaporkan di seluruh Tehran, termasuk berhampiran kediaman Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei yang dipercayai telah dipindahkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden Iran Masoud Pezeshkian sebelum ini memberi amaran perang habis-habisan sekiranya Khamenei menjadi sasaran.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran Hossein Kermanpour menerusi platform X memaklumkan sekurang-kurangnya 60 kanak-kanak maut manakala 80 lagi cedera apabila sebuah roket mengenai sebuah sekolah di selatan Iran.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas empat tapak ketenteraan AS di Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyasarkan Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, Pangkalan Udara Al Salem di Kuwait, Pangkalan Udara Al Dhafra di UAE serta armada tentera laut AS di Bahrain, menurut beberapa agensi berita asing. Gelombang peluru berpandu turut dilancarkan ke arah Israel.
UAE mengesahkan ia terkena serangan peluru berpandu balistik dan memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas beberapa peluru berpandu dengan kecekapan tinggi. Seorang orang awam warga Asia maut akibat serpihan yang jatuh. Bahrain melaporkan serangan peluru berpandu ke atas pusat perkhidmatan yang berkaitan dengan Armada Kelima AS, manakala Qatar memaklumkan pihaknya berjaya memintas gelombang kedua serangan.
Penutupan ruang udara berlaku di seluruh rantau itu termasuk Iran, Iraq, UAE dan beberapa negara jiran yang mengenakan sekatan. Flydubai melaporkan gangguan penerbangan ke Iran dan Israel manakala Saudi Airlines menggantung sementara beberapa penerbangan. Laman sesawang penjejakan penerbangan Flightradar24 memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat ditutup sementara.
Serangan siber memburukkan lagi krisis apabila beberapa laman berita Iran dan aplikasi tempatan terganggu. Pemantau internet NetBlocks melaporkan ketersambungan nasional Iran merosot kepada empat peratus, menunjukkan gangguan internet hampir menyeluruh.
Malaysia menyertai gesaan antarabangsa untuk meredakan ketegangan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penghentian permusuhan dengan serta-merta dan tanpa sebarang syarat sambil memberi amaran bahawa serangan itu boleh menjerumuskan Timur Tengah ke ambang malapetaka.
"Tindakan Israel yang memulakan serangan itu adalah cubaan keji untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan mengheret negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dibendung,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, sambil melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di rantau itu.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Iran serta serangan balas berikutnya ke atas Arab Saudi, Bahrain, UAE, Kuwait dan Qatar, menggesa semua pihak supaya menahan diri semaksimum mungkin serta menyeru masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera bagi memulihkan keamanan dan kestabilan.
Indonesia menawarkan diri untuk memudah cara dialog antara Washington dan Tehran, dengan Kementerian Luarnya menyatakan Presiden Prabowo Subianto bersedia menjadi pengantara dan, jika dipersetujui kedua-dua pihak,"bersedia berkunjung ke Tehran untuk melaksanakan pengantaraan”.
Di Brussels, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa menyifatkan perkembangan itu sebagai"amat membimbangkan” dan menggesa semua pihak"menahan diri semaksimum mungkin, melindungi orang awam dan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa”.
Ketika rundingan teknikal antara AS dan Iran masih dijadualkan berlangsung di Vienna, perubahan pantas daripada optimisme diplomatik kepada konfrontasi ketenteraan itu menyerlahkan kerapuhan rundingan serta risiko konflik serantau yang lebih luas. - Bernama