KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kekuatan ASEAN bukan terletak pada situasi yang menarik perhatian ramai tetapi pada daya tahannya yang telah terbukti dalam mendepani peperangan, krisis dan rampasan kuasa selama hampir enam dekad sejak penubuhannya pada 1967.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara bersama, ASEAN mempunyai keupayaan untuk menangani langkah Washington mengenakan tarif membebankan yang menyebabkan pasaran global merosot.
Menyuntik keyakinan itu, beliau berkata, ASEAN, yang kini di bawah kepengerusian Malaysia, sentiasa bergerak ke hadapan, walaupun adakalanya dianggap perlahan namun terus maju.
Anwar turut menegaskan ASEAN berkembang secara berperingkat dan bukan melalui revolusi.
"Oleh itu, tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bukan cabaran pertama kepada multilateralisme atau pun yang terakhir tetapi jika ASEAN terus bertekad - untuk kekal terbuka, pragmatik dan bersatu - ia menjadi bukti bahawa dunia mampu berfungsi lebih baik apabila bekerjasama."
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bertajuk:"ASEAN 2025: Membina masa depan berdaya tahan dan terangkum” pada Selasa.
Persidangan itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasarkan ketidaktentuan yang meningkat, pelaksanaan semula dasar perlindungan dan pelarasan semula rantaian bekalan, ASEAN menjadi simbol harapan berikutan kumpulan itu kekal komited terhadap keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi.
"Jumlah perdagangan kita dalam barangan sebanyak AS$3.5 trilion. Bagaimanapun, angka ini tidak dijamin. Dengan serangan tarif melanda seluruh dunia dengan cepat, kita sedang menyaksikan keretakan dalam aturan global. Oleh itu, ASEAN perlu lebih bergantung pada keupayaannya sendiri,” kata beliau.