PUTRAJAYA- Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penjagaan Pra Hospital dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penggubalan akta yang sedang dilaksanakan oleh Bahagian Perkembangan Perubatan dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) itu mengambil kira 'Good Samaritan Law’.
Ia sejenis indemniti untuk melindungi orang awam yang secara suci hati membantu dalam situasi kecemasan.
"Perkara ini sedang diteliti untuk bagaimana kita akan mempermudahkannya dan keberanian orang awam yang telah diberikan latihan serta kemahiran itu mesti disahkan agar mereka berani ke hadapan untuk melakukan intervensi menyelamatkan nyawa pada waktu-waktu kritikal.
"Ini adalah komitmen yang saya mahukan dan kementerian mahu laksanakan," katanya menerusi sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Mesin Automated External Defibrillator (AED) di kementeriannya pada Selasa.
Pada 14 Disember tahun lalu, KKM dilapor merancang memperkenalkan RUU berkonsepkan 'Good Samaritan Law' bagi melindungi individu yang bertindak memberikan bantuan kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dalam situasi jantung terhenti mengejut atau sudden cardiac arrest (SCA).
Akta itu juga bertujuan menyediakan perlindungan undang-undang kepada mereka yang bertindak menghulurkan bantuan atas dasar kepercayaan baik dalam usaha menyelamatkan nyawa orang awam.
Sementara itu, Dr Dzulkefly, ketika dalam ucapannya, menggalakkan pemasangan mesin AED di kawasan awam sebagai sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan dalam komuniti.
Langkah itu, katanya, untuk memastikan kemudahan tersebut dapat diakses dengan mudah apabila berlaku kes-kes kecemasan.
"Kemudahan sahaja tidak mencukupi tanpa ilmu dan tindakan. Ilmu resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan AED tidak seharusnya menjadi pengetahuan eksklusif kepada petugas kesihatan. Ia harus menjadi kemahiran asas masyarakat," katanya.
Terdahulu, KKM menerima sebanyak 210 unit AED daripada Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd, yang mana 170 daripadanya akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan terpilih di seluruh negara.
Sementara 40 unit lagi diserahkan kepada 17 kementerian dan agensi kerajaan di sekitar Putrajaya.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses rawatan awal kepada mangsa serangan jantung mengejut (SCA) sebelum ketibaan pasukan ambulans, khususnya di bangunan kerajaan yang mempunyai aliran pengunjung yang tinggi.