Tinta rancang beri imbuhan pelajar tahfiz ulang 30 juzuk

Iklan
Mohd Idrus (belakang, tiga kanan) bersama sebahagian pelajar Maahad Tahfiz Intan dalam satu majlis di Sungai Petani baru-baru ini.

SUNGAI PETANI - Kompleks Maahad Tahfiz Intan (Tinta) merancang memberi imbuhan kepada pelajar Program Syahadah yang berjaya mengulang kaji bacaan 30 juzuk al-Quran walaupun tidak lagi mengikuti pengajian di pusat berkenaan.

Pengerusi Tinta, Mohd Idrus Ahmad @ Ab Kadir berkata, imbuhan itu bertujuan sebagai galakan kepada pelajar untuk terus memantapkan hafazan selain memartabatkan al-Quran walau di mana sahaja mereka berada.

Iklan
Iklan

"Kita merancang untuk beri imbuhan kepada pelajar yang telah khatam 30 juzuk untuk terus mengulang kaji bacaan al-Quran walaupun telah melanjutkan pelajaran ke kolej atau sedang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sekiranya mereka berjaya, maka kita beri sumbangan kepada mereka sebagai galakan.

"Saya mengharapkan masyarakat bersama kami memberi sumbangan dalam Program Syahadah ini. Cara ujian adalah dengan memantau secara 'tebuk', sama ada datang ke Tinta atau dibuat secara atas talian," katanya.

Iklan

Menurut Mohd Idrus, inisiatif ini bertujuan melahirkan huffaz berkualiti, memberi pengiktirafan kepada pelajar yang bertungkus-lumus mengulang hafazan, serta sebagai dorongan dan semangat untuk lebih memelihara hafazan al-Quran.

Jelasnya, masyarakat yang ingin turut menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank atas nama Maahad Tahfiz Intan bernombor 5521 8950 7087 atau hadir sendiri ke pusat pengajian berkenaan yang terletak di Kampung Teluk, Sungai Layar.

Iklan

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, khatam al-Quran yang dilaksanakan secara harian pada Ramadan akan disambung pada bulan Syawal tetapi dilakukan secara mingguan.

"Sudah tentu orang yang mengamalkan al-Quran memperoleh pahala berganda-ganda. Salah satu ibadat yang ditekankan pada bulan Ramadan diteruskan, walaupun sedikit dikurangkan tetapi tetap dilaksanakan pada bulan Syawal," katanya.