Keluarga mangsa rompakan mohon AGC semak, kaji semula pertuduhan terhadap suspek

Iklan
Rayer (tengah) mendengar penjelasan daripada Rina (kiri) dan suaminya pada sidang akhbar di Wisma DAP Pulau Pinang pada Isnin.

GEORGE TOWN - Keluarga mangsa rompakan memohon agar Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak dan mengkaji semula kertas siasatan serta menuduh suspek di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Peguam DAP, RSN Rayer berkata, sebelum ini, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peguam yang mengendalikan kes tersebut memaklumkan suspek mengaku tidak bersalah dan telah membayar jaminan RM5,000 lalu dilepaskan.

"Saya mewakili keluarga mangsa memohon AGC supaya menyemak semula seksyen yang digunakan ke atas suspek iaitu Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana seksyen tersebut hanya menyebabkan kecederaan sahaja.

Iklan

"Sedangkan suspek telah menyebabkan kecederaan pada kepala mangsa menggunakan tukul besi ketika melakukan rompakan pada September tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Tambah Rayer, dalam kes berkenaan, suspek sepatutnya dituduh di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan ketika rompakan atau Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan bersenjata.

Iklan

"Kedua-dua seksyen ini memperuntukkan hukuman lebih berat yang mana, bagi Seksyen 394, ia memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan sementara Seksyen 397, penjara sehingga 14 tahun dan denda dan sebatan.

"Bagaimanapun, suspek hanya dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan tangan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat," katanya.

Rayer turut menyatakan kekecewaannya terhadap AGC kerana ia melibatkan kes rompakan bersenjata.

"Saya dan keluarga mangsa sangat kecewa kerana kes ini melibatkan rompakan bersenjata yang mana, suspek telah memasuki rumah melalui bumbung lalu menggeledah bilik mangsa.

"Oleh demikian, kami menuntut penjelasan daripada AGC mengenai kes ini," katanya.

Beliau menambah, peguam mangsa telah menghantar surat rasmi kepada AGC selepas pertuduhan dibuat namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

"Kita akan terus memantau perbicaraan kes ini dan bersedia membantu pihak berkuasa jika mereka memerlukan dokumen untuk memastikan pertuduhan yang lebih tepat dan setimpal dikemukakan," katanya.

Sementara itu, mangsa yang juga warga Indonesia, Rina Minda Sari, 48, memohon agar dia diberi keadilan di atas kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.

"Saya alami kecederaan serius apabila kepala saya dihentak kuat oleh suspek guna tukul besi sehingga menyebabkan saya terima lapan jahitan. Walaupun luka sudah pulih, namun saya masih alami kesakitan sekiranya saya berada di tempat panas dalam tempoh yang lama.

"Saya juga hidup dalam trauma, jika terdengar bunyi sesuatu di tingkat atas rumah, saya sudah takut. Oleh itu, saya mohon daripada Kerajaan Malaysia untuk beri keadilan kepada saya selepas apa yang saya lalui ini," katanya.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Rina berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya yang juga orang kurang upaya (OKU), Ahmad Hussin Hassan, 65, berada di rumah manakala dua anaknya ke sekolah.

"Kejadian berlaku pada jam 10 pagi, 11 September tahun lalu. Saya terdengar bunyi seperti orang memukul perabot di tingkat atas lalu saya pergi memeriksanya. Alangkah terkejut apabila saya dapati jiran saya berada di dalam bilik dan sedang selongkar almari.

"Suspek yang juga jiran di sebelah rumah saya itu terus pukul kepala saya beberapa kali guna tukul besi sehingga memancut darah dan menolak saya ke dinding," katanya.