KOTA TINGGI – Tragedi Putra Heights tidak sepatutnya dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Perak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian malang seperti bencana dan kemalangan bukanlah sesuatu yang boleh diramal atau dielakkan sepenuhnya, apatah lagi ia bukan berlaku secara berulang kali.
"Soal tragedi Putra Heights bukan soal kesilapan atau kelemahan kerajaan Perpaduan, ini satu bencana.
"Ia juga bukan sesuatu yang kerap berlaku. Puncanya sedang dikenal pasti dan kita harus berusaha memahami perkara ini dengan adil," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan di sini pada Isnin.
Justeru beliau berkata, rakyat seharusnya bijak dalam menilai sesuatu isu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang cuba mempolitikkan tragedi.
"Kalau begitu, setiap kali berlaku kemalangan jalan raya atau banjir, adakah semua itu perlu dijadikan isu untuk menyerang kerajaan? Ini perkara yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan," ujarnya lagi.
Menurutnya, pendekatan yang lebih matang perlu diambil dalam menangani bencana dan bukan menuding jari tanpa asas yang kukuh.
"Sekiranya kejadian seperti ini berlaku di negeri lain seperti Kedah, adakah kerajaan perpaduan akan menggunakannya untuk menyerang pentadbiran negeri tersebut? Sudah tentu tidak," katanya lagi.
Insiden kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi Selasa lepas di Putra Heights, Subang Jaya mengakibatkan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.
Mengulas mengenai isu yang akan dibawa UMNO pada PRK Ayer Kuning, Mohamed Khaled menjelaskan agenda yang lebih besar dan isu pembangunan serta kesejahteraan akan diketengahkan.
"UMNO akan bawa soal bagaimana adanya kerjasama penubuhan kerajaan perpaduan termasuklah di Perak, tumpuan dapat diberikan kepada soal-soal untuk membangunkan dan menjaga kesejahteraan rakyat.
"Kita akan bawa kepada soal di mana rakyat perlu fahami cabaran dihadapi kerajaan termasuk yang datang dari luar seperti soal tarif Amerika Syarikat.
"Isu yang lain, kita tengok pula isu yang pembangkang bawa. Semestinya peluang ini digunakan untuk kata semua kerajaan buat tidak betul," katanya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini yang mana penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februaru lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.