Rezeki tukang rumah mahir anyam sarung ketupat nasi

Iklan
Mohamad Hairul Hazlan menunjukkan sarung ketupat yang ditempah pelanggan.

KOTA BHARU - Rezeki berganda buat seorang tukang rumah yang mahir menganyam sarung ketupat nasi di Kampung Nechang, Tumpat apabila tidak putus menerima tempahan walaupun sudah memasuki 8 Syawal.

Kebolehannya menganyam sarung ketupat nasi membolehkan pemuda ini menyiapkan kira-kira 200 sarung ketupat dalam sehari.

Iklan
Iklan

Mohamad Hairul Hazlan Zulkifli, 27, atau lebih mesra dengan panggilan Along berkata, kebanyakan permintaan sarung ketupat adalah daripada pelanggan yang mahu menjamu rakan-rakan atau menganjurkan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.

"Saya ambil masa antara dua hingga tiga minit sahaja untuk menganyam daun kelapa muda sebagai sarung ketupat," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pada musim perayaan dia sukar mencari daun kelapa muda namun mujur rakannya, Muhammad Nizomuddin Mohd Bustaman, 32, membantu mendapatkannya dari pengedar di Kulai, Johor dan Klang, Selangor.

Mohamad Hairul Hazlan menunjukkan cara menganyam sarung ketupat nasi.

Menurut Along, terdapat dua bentuk iaitu sarung biasa dan bawang namun kedua-duanya dijual pada harga sama iaitu 60 sen sebiji.

Iklan

Along yang mewarisi kebolehan menganyam ketupat daripada bapanya, Zulkifli Hussin, 53, turut menerima tempahan ketupat nasi pada harga RM1.50 sebiji.

Katanya lagi, lebih 1,000 tempahan ketupat nasi pada hari raya pertama dan semuanya dilakukan seorang diri kerana tiada ahli keluarga lain yang mahir menganyam sarung ketupat atau menyediakan sajian itu.

"Dua hari sebelum sambutan 1 Syawal, saya menyiapkan kira-kira 400 sarung ketupat nasi sebelum memasukkan nasi dan proses merebus yang mengambil masa antara 10 hingga 12 jam," katanya.

Jelasnya, ketupat nasinya menggunakan beras import supaya lebih padat dan tidak mudah basi selain enak berbanding beras biasa.

"Sebelum ini harga ketupat nasi saya hanya RM1 namun terpaksa dinaikkan tahun ini kerana kenaikan harga bahan mentah termasuk daun kelapa," katanya.

Menceritakan minatnya untuk menganyam ketupat kata Along, segalanya bermula ketika dia berusia 11 tahun namun serius me gambil tempahan sejak empat tahun lalu.

"Saya selalu melihat ayah membuat ketupat dan tertarik dengan bentuk dan anyaman itu," katanya.

Along juga mengakui pernah mengajak rakan-rakan dan adik-beradik lain belajar menganyam ketupat supaya dapat mengekalkan menu itu bersama sarungnya tanpa menggunakan plastik.

"Saya juga berharap seni anyaman ketupat ini dapat diwarisi oleh generasi baharu dan disediakan setiap kali sambutan hari raya supaya tidak bergantung pada penyediaan cara moden," katanya.