Rindu keluarga beri keinsafan

Iklan
Suraya, 41, yang menjadi klien Puspen Dengkil sejak tahun lalu kini berfikiran lebih positif dan berhasrat untuk berubah menjadi lebih baik.

SEPANG – Rasa rindu terhadap keluarga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, memberikan keinsafan seorang bekas penagih dadah yang sedang mengikuti program rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Dengkil.

Suraya, 41, yang menjadi klien Puspen Dengkil sejak tahun lalu kini berfikiran lebih positif dan berhasrat untuk berubah menjadi lebih baik.

Iklan
Iklan

"Ini adalah tahun pertama saya menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri di pusat ini.

"Ia membangkitkan rasa rindu saya terhadap keluarga, sekali gus memberi keinsafan,” katanya ketika ditemui di pusat pemulihan itu di sini baru-baru ini.

Iklan

Suraya berkongsi pengalamannya dengan wartawan Sinar Harian. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, dia terjebak dengan dadah daripada pengaruh rakan-rakan dalam dunia perniagaan.

Iklan

"Saya bekerja sendiri, namun apabila bergaul dengan rakan-rakan lain, mereka beri ice ketika hangout,” katanya.

Suraya berkata, setelah enam bulan mengambil dadah, ia mula memberikan kesan negatif kepada kehidupannya, terutama dari segi kerja dan kesihatan.

"Apabila kerap ambil ‘benda’ ini, jadual kerja mula terganggu dan saya sering tangguh janji temu dengan klien, malah kerap sakit dan kurang makan,” jelasnya.

Menyedari keadaan dirinya semakin merosot, anak keempat daripada enam beradik itu akhirnya membuat keputusan drastik untuk mendapatkan bantuan.

Bekas penagih di Puspen Dengkil sedang membaca al-Quran. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Saya sendiri yang memilih untuk masuk ke pusat pemulihan ini setelah berbincang dengan adik beradik. Selain itu, saya tidak mahu perniagaan yang dibina selama lapan tahun hancur begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Murad, 29, berkata, bekas penagih sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan peluang kedua membina kehidupan akibat 'keseronokan' sementara itu

"Kami ingin bekerja dan membina semula kehidupan. Apatah lagi, untuk meneruskan kelangsungan hidup, selain berdepan dengan stigma masyarakat terhadap bekas penagih,” katanya.

Murad berkata, dia mengambil dadah heroin ketika masih di sekolah menengah.

Pelbagai ilmu kerohanian disediakan untuk bekas penagih. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Pada ketika itu, saya masih belajar, kawan-kawan dakwa kalau ambil ‘benda’ itu, kita boleh berjaga malam, boleh fokus belajar,” katanya yang terjebak dengan najis dadah selama 12 tahun.

Murad berkata, kali pertama dia dihantar oleh ibu bapanya ke pusat pemulihan ketika berusia 18 tahun.

"Saya berada di pusat pemulihan itu selama sembilan bulan, namun selepas keluar, relapse (kembali menagih) berlaku. Mula-mula sebulan sekali, kemudian seminggu sekali. Lama-kelamaan, jadi ketagihan semula,” katanya.

Pelbagai program kemahiran turut disediakan AADK untuk bekas penagih. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Jelasnya, kali kedua, dia memasuki pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) secara mandatori selepas ditangkap pada tahun lalu.

"Paling sedih ketika ditahan dengan tangan bergari, saya pergi melawat ayah di unit rawatan rapi di sebuah hospital kerana sakit jantung, Itu kenangan yang saya takkan lupa,” ujarnya.