Wan Ahmad Fayhsal dakwa kenyataan banyak bercanggah

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Tindakan pihak berkuasa tidak mendedahkan nama kontraktor yang terlibat dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada pagi Selasa lalu seolah-olah menunjukkan kerajaan mahu menyembunyikan sesuatu daripada umum.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya turut kesal terdapat banyak kenyataan bercanggah dilaporkan pelbagai pihak berkepentingan berkaitan tragedi berkenaan, dengan kerajaan Madani seolah-olah mahu 'mengambus' sesuatu.

Iklan
Iklan

Tambahnya, tatakelola kerajaan Madani dalam menguruskan isu bencana yang melanda penduduk Putra Heights, Subang Jaya turut menjadi pertikaian dengan beliau mempersoalkan mengapa status dan identiti kontraktor terlibat perlu dipertahankan.

"Tatakelola di bawah Madani! Kenapa kamu pertahankan sangat?

Iklan

"Banyak sangat kenyataan yang bercanggah dan seolah-olah mahu kambus sesuatu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan polis belum mendedahkan nama syarikat kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pengorekan berhampiran paip gas yang terbakar di Putra Heights, pada Selasa lalu berikutan siasatan masih lagi dilakukan.

Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses siasatan kini berada pada peringkat awal dengan tumpuan utama kini adalah bagi mengenal pasti sama ada wujud kecuaian atau unsur jenayah.

Berikutan itu, Wan Ahmad Fayshal yang juga Ahli Parlimen Machang menegaskan rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui perkara sebenar kecuali ada pihak yang tidak mahu punca kejadian itu didedahkan.

"Demi kepentingan awam perlu siasat dan maklum kepada rakyat hal sebenar, kecuali ada pihak yang tidak mahu perkara ini didedahkan,” katanya.