Kebakaran Putra Heights: Segelintir mangsa enggan pindah ke Sepang

Iklan
Keadaan terkini kediaman Zuraidah selepas kejadian letupan gas di Putra Heights baru-baru ini.

SUBANG JAYA - Terdapat segelintir penduduk yang terjejas dalam kejadian letupan gas di Putra Heights menyuarakan keengganan untuk berpindah ke rumah sementara di Kota Warisan, Sepang berikutan menyukarkan urusan harian untuk berulang-alik.

Zuraidah

Salah seorang mangsa, Zuraidah Zaibidin, 46, berkata, dia terpaksa menolak kerana jarak untuk menghantar anak ke sekolah yang jauh, selain tidak mempunyai kenderaan untuk memudahkan pergerakan.

Iklan
Iklan

Dia sebaliknya berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mencari kediaman yang lebih dekat di sekitar Shah Alam.

"Memang mereka kata ada penempatan sementara, katanya di Sepang tetapi kalau boleh saya mahu berdekatan kawasan ini sahaja sebab senang mahu hantar anak ke sekolah dan pergi kerja.

Iklan

"Kalau pindah Sepang, agak susah kerana anak sekolah di Shah Alam, jadi untuk ulang-alik agak jauh, lebih-lebih lagi kami sudah tiada kenderaan, satu kereta dan tiga motor semua sudah hangus terbakar...tinggal besi buruk sahaja.

Kenderaan milik keluarga Zuraidah turut musnah dalam kejadian letupan gas di Putra Heights baru-baru ini.

"Ada kenderaan yang diberi agensi tertentu tetapi terhad kerana kereta sama yang mahu pakai untuk kerja, ambil anak sekolah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini dilaporkan, kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan untuk menempatkan semula mangsa kebakaran Putra Heights ke rumah sementara mulai minggu depan dan seterusnya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penduduk yang terjejas mungkin ditempatkan di Kota Warisan, Sepang dan Airbnb di kawasan lain di Lembah Klang untuk menangani kesesakan di pusat pemindahan.

Norlizawati

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Norlizawati Nasir, 47, menyuarakan sedikit kelegaan kerana rumah didiami tidak terjejas teruk yang memerlukannya berpindah ke penempatan sementara lain.

Bagaimanapun, menurutnya, dia bersama keluarga masih tidak dibenarkan untuk pulang berikutan keadaan dan struktur rumah yang masih bahaya dan tidak selamat untuk didiami selepas pemeriksaan kali kedua dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Sedih tengok keadaan rumah kerana trauma kami masih belum habis dengan kejadian banjir pada 2021 dan kali ini diuji dengan kebakaran yang memang mengganggu emosi, tetapi saya reda, anggap ujian ALLAH SWT.

"Sudah beberapa hari kami di sini, mula teringat dekat rumah dan ditambah pula anak akan sekolah esok (Isnin), ini jadi kerisauan kami tetapi kami akur dengan arahan mereka.

"Alhamdulillah, anak-anak juga dapat bantuan pakaian sekolah yang sememangnya membantu meringankan beban kami,” ujarnya.