SHAH ALAM - Pelan tindakan sedia ada perlu ditambah baik dengan memberi penekanan kepada tatakelola yang lebih profesional bagi menangani gejala rasuah di negara ini khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, dalam masa sama kempen juga harus dilakukan secara berterusan agar memberikan kesedaran kepada masyarakat.
Menurutnya, rasuah merupakan musuh utama yang akan melumpuhkan ekonomi negara.
"Antara sebab berlakunya rasuah ialah berbalik kepada nilai integriti dan daya tahan diri yang ada pada seseorang.
"Hanya individu yang mempunyai jati diri tinggi dapat mengelak daripada terjebak dengan aktiviti rasuah," katanya.
Beliau berkata, tidak dinafikan wujudnya peluang dan ruang ketika menjalankan tugas, sudah pasti ia memberikan tekanan dan godaan.
"Namun dengan mengutamakan kepentingan awam serta mempunyai nilai amanah yang tinggi pasti amalan rasuah boleh dihentikan," katanya.
Sebelum ini, bilangan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terlibat kes salah guna kuasa dan rasuah sangat kecil iaitu hanya 54 orang atau 0.36 peratus daripada 14,872 jumlah perjawatan pegawainya di seluruh negara pada 2024.
Ketua Pengarah JKDM, Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, bagaimanapun kes itu sudah ditangani sewajarnya.
Beliau berkata, penahanan pegawainya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya dilihat sebagai langkah untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan dan tatakelola JKDM.
Tambah Hamdan Daniel, walaupun statistik menunjukkan penurunan kadar rasuah dalam jabatan-jabatan kerajaan namun masyarakat masih mengharapkan agar amalan itu dapat dihapuskan sepenuhnya sehingga mencapai tahap sifar peratus.
"Jika dihitung dari segi peratusan memang dilihat sebagai satu perkembangan positif tetapi tidak mustahil boleh capai angka 'kosong' sekiranya ada pelan tindakan oleh pihak berwajib untuk membenteras amalan rasuah.
"Selain itu, pemakaian kemera pada pakaian pertugas dijangka bakal menyekat kegiatan rasuah berleluasa," ujarnya.