'Arapaima banyak dibeli musim raya'

Iklan
Arapaima menjadi spesies paling popular menjadi pilihan untuk dimiliki pada musim perayaan. Gambar kecil: Adnan

PUTRAJAYA - Dianggap sebagai simbol kemewahan dan mahu mempamer kekayaan menjadi trend pembelian ikan larangan pada musim perayaan Aidilfitri.

Malah, Jabatan Perikanan (DOF) mengesan terdapat peningkatan trend musim perayaan dalam kalangan pemilik kediaman dan premis perniagaan yang menjadikan ikan larangan sebagai daya tarikan utama untuk menarik pelanggan dan pengunjung.

Iklan
Iklan

Selain itu, tiga spesies ikan larangan yang sering menjadi pilihan untuk dimiliki pada musim perayaan ialah arapaima, alligator gar dan peacock bass.

Anak ikan bagi spesies alligator gar dirampas DOF menerusi operasi penguatkuasaan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain menjelaskan bahawa keunikan spesies ikan ini turut dikaitkan dengan simbolisme tertentu dalam pelbagai kepercayaan.

Iklan

Beliau memberi contoh ikan arapaima yang bersisik gangsa sering digelar 'water dragon' melambangkan kekayaan dan status, manakala alligator gar yang menyerupai buaya dipercayai membawa tuah yang menjadikan spesies tersebut popular dalam kalangan penggemar ikan eksotik.

Menurutnya, ia menjadikan ikan tersebut rebutan bagi mereka yang ingin memiliki sesuatu yang berbeza.

Iklan
Pasukan penguat kuasa DOF menjalankan pemeriksaan di premis ikan hiasan dalam usaha mengekang penjualan ikan larangan.

"Antara spesies ikan larangan yang sering mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan ialah arapaima yang bersaiz besar dan sering dijadikan tarikan utama dalam kolam hiasan kerana saiznya yang mampu mencapai beberapa meter panjang dan berat ratusan kilogram.

"Selain itu, alligator gar juga mendapat perhatian kerana rupanya yang unik menyerupai buaya dengan muncung panjang dan gigi tajam serta sifatnya yang agresif.

"Ikan peacock bass (Cichla Temensis) turut tersenarai sebagai spesies yang kerap dibeli kerana mudah didapati di pasaran gelap walaupun diketahui mempunyai kadar pembiakan yang tinggi dan berpotensi mengancam spesies ikan tempatan selain persaingan untuk mendapatkan makanan dan habitat,” katanya kepada Sinar Harian.

Alligator gar antara menjadi pilihan untuk dimiliki pada musim perayaan.

Beliau memberitahu, beberapa modus operandi yang dikenal pasti dalam perdagangan ikan larangan.

Jelas Adnan, antaranya ialah penjualan secara dalam talian melalui platform media sosial, aplikasi e-dagang serta forum dalam talian yang sukar dipantau oleh pihak berkuasa.

Adnan berkata, kurangnya kesedaran masyarakat umum tentang bahaya ikan larangan terhadap ekosistem tempatan, risiko undang-undang berkaitan pemilikan ikan larangan dan kesan negatif terhadap ekosistem merupakan faktor yang menyumbang kepada peningkatan pembelian spesies ikan-ikan terlarang ini.

"Pelepasan ikan larangan ke dalam perairan tempatan boleh mendatangkan kesan buruk kepada ekosistem perikanan.

"Antaranya ialah ancaman kepada spesies tempatan iaitu ikan pemangsa seperti alligator gar dan arapaima boleh memburu serta mengurangkan populasi ikan asli Malaysia sehingga menyebabkan kepupusan spesies tertentu,” ujarnya.

Katanya lagi, kadar pembiakan spesies tertentu yang tinggi boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

"Ikan larangan merupakan spesies invasif yang boleh mendominasi perairan dan menyingkirkan spesies tempatan.

"Ikan import juga berpotensi membawa penyakit yang tidak wujud dalam perairan Malaysia hingga boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan kematian besar-besaran dalam kalangan hidupan akuatik tempatan,” katanya.

Peacock bass antara spesies ikan larangan yang dikesan dijual di premis akuarium dan ikan hiasan dalam negara.

Tindakan bersepadu pantau media sosial

Jelas Adnan, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi menangani isu ini antaranya meningkatkan operasi pemeriksaan dan pemantauan di premis jualan ikan dan lokasi lain di mana ikan larangan mungkin dijual.

"Pemantauan juga ditingkatkan di platform dalam talian seperti media sosial, laman web e-dagang dan forum dalam talian di mana ikan larangan mungkin diiklankan atau dijual,” ujarnya.