'Badan masih rasa seperti dibakar, kami trauma luka emosi ini belum pulih'

Iklan
Ahmad (kanan) dan Ellyna kini ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights, Subang Jaya.

SUBANG JAYA -"Kami masih terbayang bahang api dan bunyi dentuman kuat. Setiap kali terdengar bunyi pelik, kami jadi cemas".

Demikian kata pasangan suami isteri, Ahmad Daniel, 25, dan Ellyna Aman, 41, yang masih belum pulih daripada trauma insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights.

Iklan
Iklan

"Sampai sekarang kami belum dapat tidur lena," kata mereka ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Ahmad dan Ellyna kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya di sini sejak Selasa lalu.

Iklan

Menurut pasangan melangsungkan perkahwinan pada Mei tahun lalu, kejadian itu berlaku terlalu pantas hingga mereka tidak sempat menyelamatkan dokumen penting lain sebelum keluar menyelamatkan diri.

Nurul Izati dan keluarga turut berpindah ke PPS Masjid Putra Heights selepas insiden kebakaran paip gas Selasa lalu.

"Kami hanya sempat selamatkan sijil kahwin," katanya.

Iklan

Ahmad yang melecur di tangan kiri dan anggota badan lain menambah, dia juga menjadi alah kepada cahaya matahari malah badannya terasa seperti masih terbakar sehingga hari ini.

Turut berkongsi kisah sama, Nurul Izati Ramli, 36, yang berada di rumah bersama anak-anaknya ketika kejadian, masih dibelenggu rasa takut dan terkejut.

"Ketika kejadian saya sedang berada di dalam rumah bersama anak-anak. Suami saya, Mohd Badly Nordin, 41, berada di luar. Bahangnya sangat kuat sebelum kami bergegas keluar," ujar pegawai di Jabatan Meteorologi itu.

Rumah mereka sekeluarga yang didiami bersama lima beranak mengalami kerosakan teruk, terutama di bahagian bumbung, dengan semua cermin pecah.

Dia berkata, walaupun tidak terbakar keseluruhan, kesannya amat menyedihkan.

"Hanya suami dibenarkan masuk melihat keadaan rumah. Saya tak sanggup. Ini bukan kali pertama kami alami situasi begini.

"Kami pernah dilanda banjir besar pada 2021 dan sejak itu tinggal di rumah lain di Bandar Saujana Putra, ”ujarnya.

Lebih menyayat hati, rumah ibu mentuanya di Kampung Kuala Sungai Baru juga rosak teruk dalam insiden sama, selain bengkel milik suami turut musnah.

"Saya bersyukur kerana bantuan makanan dan keperluan asas memang mencukupi. Tapi luka emosi ini masih belum pulih. Kami sangat terkesan,” kata Nurul Izati.

Pada Jumaat, mangsa kebakaran sekali lagi dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing mengikut gliliran untuk mengambil barangan keperluan serta dokumen penting.

Pada Khamis, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, proses pemulihan kawasan terjejas dilaksanakan secara berperingkat selepas pemeriksaan tahap keselamatan selesai.

Sebanyak 85 rumah disahkan selamat dan penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing mulai semalam.

Amirudin dalam sidang media di Shah Alam itu turut memaklumkan bahawa proses siasatan punca kejadian terus dilaksanakan pasukan penyiasat melibatkan pelbagai agensi, dengan hasil laporan awal akan diketahui pada Jumaat petang.