Putus tunang, cerai dengan isteri punca dua lelaki ambil pil kuda

Iklan
Pak Atan (kiri) Achik (kanan) sedang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang. Foto Sinar Harian

KUANTAN - Kekecewaan akibat kegagalan hubungan dan permasalahan peribadi telah membawa dua lelaki ke jalan yang gelap dengan menjadikan dunia dadah sebagai pelepas tekanan.

Namun, kedua-duanya yang sedang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang, menganggap episod hitam itu sebagai titik tolak untuk berubah dan memulihkan hidup mereka.

Iklan
Iklan

Bekas juruparkir pesawat mesra dipanggil Achik, 27, dari Terengganu berkata, perpisahan dengan tunang dikenali selama enam tahun menjadi penyebab utama dia terlibat dengan dadah.

Dalam keadaan tertekan dan kecewa, dia memilih jalan pintas untuk melupakan kesedihan dialaminya dengan mengambil pil kuda.

Iklan

"Bila saya putus tunang, rasa sangat kecewa dan dalam keadaan begitu, saya ambil dadah (pil kuda) sekali sahaja.

"Lepas itu balik kampung, tapi tertangkap, mungkin keluarga syak perubahan tingkah laku saya dan mereka buat laporan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di PUSPEN Gambang pada minggu lalu.

Iklan

Achik kini berada jauh dari keluarga turut meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama mereka.

Luahnya, luangan takdir raya membuatkan hatinya tersentuh, namun pasrah kerana ini satu-satunya jalan bagi mengubah hidup.

"Memang rasa menyesal, tapi saya reda. Saya sendiri perlu berubah, kena pulih serta nekad tidak mahu terjebak lagi.

"Tapi saya rasa ada hikmah masuk sini sebab di luar sana banyak benda saya tidak tahu, terutama bab agama,” katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik turut memaklumkan, mahu memohon kerja di bahagian penerbangan semula selepas dibebaskan kelak.

Jelasnya, ini bagi membolehkan dirinya membina semula kerjaya yang hancur akibat pengaruh dadah.

Turut berkongsi pengalaman di PUSPEN Gambang ialah Pak Atan, 54, juga menyesali perbuatannya kerana terjebak dengan dadah akibat kekecewaan dalam perkahwinan.

Sungguhpun begitu, Pak Atan berharap agar keluarga, termasuk anak-anak, dapat menziarahnya di pusat pemulihan.

"Ini adalah Aidilfitri kedua saya di sini. Pada raya tahun lepas, isteri dan anak-anak datang, tetapi kali ini saya sudah bercerai dengan isteri, jadi mungkin saya tidak dapat berjumpa dengan anak-anak.

"Rindu teramat, tapi apa mampu saya buat selain berdoa,” katanya memiliki empat anak hasil daripada dua perkahwinan.

Mengimbau kisah lalu, Pak Atan mengakui kehidupannya musnah akibat gaya hidup bebas selepas perceraian pertama.

"Terlalu ikutkan emosi, saya cari ketenangan di kelab malam, akhirnya terjebak dengan pil kuda.

"Saya kahwin lagi, tapi tetap tak berubah dan perkahwinan kedua juga berakhir,” tambahnya dengan nada kesal.

Pak Atan bagaimanapun bersyukur dengan hikmah yang ALLAH berikan kepadanya sejak berada di PUSPEN Gambang.

Ujarnya, banyak ilmu agama dan kemahiran baru dipelajari serta memberi peluang untuk membina kehidupan baru demi masa depan anak-anak.

"Di sini, saya dapat belajar banyak tentang agama, masa berada luar, solat mungkin tidak cukup, tapi di sini saya dapat solat lima waktu dengan sempurna.

"Setiap Jumaat, kami ada qiamullail. Saya juga belajar solat Tahajud dan solat Tasbih, rasa makin dekat dengan ALLAH," ujarnya yang mahu membuang sikap buruk sebelum ini.

Bercerita mengenai perancangan untuk kehidupan barunya, Pak Atan mahu berhijrah ke tempat lain agar tidak lagi terjebak dengan kelompok sama yang boleh menjerumuskannya ke kancah kehidupan lama.

Katanya, pernah mempunyai tiga gerai buah-buahan tempatan di Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman secara sampingan selain bekerja sebagai penasihat dalam sektor pembangunan.

Namun kesemua perniagaannya tutup dan kini terpaksa bermula dari bawah di tempat baharu.

"Hidup perlu pandang ke depan dan tidak mahu lagi fikir yang di belakang.

"Yang keruh buang, saya cebok (ambil) jernih sahaja kerana saya masih perlu bina nasib saya dan anak saya walaupun saya tiada lagi isteri,” luahnya.