CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam percakapan seorang pegawai khidmat pelanggan yang disyaki memuat naik kandungan jelik melampau serta menyentuh sensitiviti kaum di platform media sosial X.
SKMM dalam kenyataan memaklumkan bahawa sesi rakaman berkenaan dijalankan di ibu negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala telefon pintar dan kad SIM milik suspek turut disita untuk analisis forensik.
"Rakaman percakapan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda hingga RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada Khamis.
SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan berunsur kebencian yang menyentuh isu perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R) di media sosial atau aplikasi pemesejan.
Jelasnya, penguatkuasaan bersama PDRM akan diteruskan bagi melindungi keharmonian serta ketenteraman awam.
Terdahulu, Pejabat Menteri Perpaduan Negara telah membuat laporan kepada SKMM berhubung dua ciapan seorang pengguna X, @AmirRidhwann, bertarikh 5 Mac dan 26 Mac yang berunsur provokatif dan rasis terhadap masyarakat India.