SHAH ALAM – Kerajaan Madani digesa segera mengambil langkah proaktif, termasuk memperkukuh peranan Petronas, bagi menangani cabaran perdagangan global susulan peningkatan tarif eksport ke Amerika Syarikat (AS).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Petronas bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi juga aset strategik ekonomi negara yang membawa pulangan besar kepada perdagangan antarabangsa.
Beliau berpandangan bahawa situasi ini membuktikan kerajaan perlu bersikap lebih proaktif dalam memastikan Petronas memberi manfaat maksimum, bukan hanya terhad kepada sektor minyak dan gas.
"Kepentingan Petronas kepada Malaysia dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu ini tidak boleh dipersoalkan lagi.
"Oleh itu, kerajaan mesti menghentikan sebarang bentuk campur tangan politik yang berlebihan terhadap Petronas dan memberikan autonomi penuh kepada syarikat itu untuk melaksanakan perancangan serta peluasan operasi dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Beliau turut menegaskan, Petronas bukan sekadar sebuah syarikat minyak dan gas, malah ia adalah lambang kekuatan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.
"Melemahkan Petronas bermakna melemahkan posisi tawar Malaysia di meja rundingan global, khususnya dalam kerjasama dua hala dengan negara-negara rakan dagang Malaysia," katanya.
Menurut beliau, antara tindakan utama lain yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam menghadapi situasi semasa termasuk mengadakan rundingan segera dengan AS bagi pengurangan atau penstrukturan semula tarif itu.
Wan Ahmad Fayhsal turut menekankan keperluan untuk memperluaskan pasaran eksport ke rantau lain termasuk Asia Barat, Afrika dan negara-negara yang tergolong dalam kumpulan BRICS.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mengaktifkan semula hubungan perdagangan strategik dua hala (FTA) yang telah terbengkalai dengan negara-negara rakan dagang lain.
Selain itu, tambahnya, kerajaan disarankan supaya menyediakan sokongan fiskal kepada industri yang paling terkesan dengan kenaikan tarif AS ini.
Beliau menasihatkan kerajaan agar lebih cermat dalam mempertahankan dan memperkasakan lagi entiti geoekonomi negara, khususnya institusi seperti Petronas dalam menghadapi ketidaktentuan geoekonomi global di bawah Trump dan perubahan landskap kuasa dunia.