Nenek 112 tahun gembira sambut raya

Iklan
Kelthom (duduk tengah) bersama sebahagian daripada anak, cucu, cicit dan piut yang menetap di Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh.

LAPORAN khas ini menyoroti kisah individu berusia 100 tahun dan ke atas yang masih dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Melihat perubahan dalam cara mereka merayakan perayaan ini sepanjang abad, kesihatan dan tradisi yang masih kekal walaupun usia semakin lanjut.

Iklan
Iklan

Ikuti kisah mereka yang diceritakan kepada wartawan Sinar Harian.

Seorang warga emas berusia 112 tahun dari Felcra Teratak Batu di Pasir Puteh memberitahu hidangan ketupat palas, tapai pulut serta air telaga mentah menjadi hidangan istimewa setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri semasa zaman remajanya.

Iklan

Kelthom Yaacob yang masih sihat tanpa sebarang penyakit serta mampu berjalan dengan baik berkata, pada waktu itu tiada kuih-muih ataupun makanan enak lain yang dihidangkan termasuklah air berperisa serta berwarna.

"Kalau istimewa sikit, ada nasi lemak. Itu sudah cukup istimewa, tetapi tradisi memberi duit raya memang sejak dari dahulu lagi diamalkan.

Iklan

"Seingat saya, mak ayah sanggup simpan dan kumpul duit syiling untuk diberikan kepada tetamu kanak-kanak. Paling menjadi rebutan ialah 50 sen kerana nilai paling tinggi, dapat yang ini sudah rasa gembira sangat,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut ibu kepada 11 cahaya mata itu, semasa Aidilfitri dia mengenakan baju kurung yang ditempah pada tukang jahit dengan harga sekitar RM1 atau RM3 sepasang.

Ujarnya yang mempunyai lebih 70 cucu, 20 cicit dan dua piut, hari raya dahulu hanya disambut sekitar dua hari sahaja tidak seperti sekarang sampai sebulan rumah terbuka diadakan.

"Dulu, kami akan ziarah menziarahi sanak saudara hanya berjalan kaki. Masa inilah kami akan bermaaf-maafan tidak kira tua atau muda,” katanya yang sangat menggemari ketupat palas dan merupakan hidangan wajib di hari raya sehingga sekarang.

Kelthom memberitahu, walaupun Aidilfitri ketika itu disambut sederhana namun suasananya tetap meriah berbanding sekarang dengan pakaian pelbagai fesyen, makanan pelbagai jenis.

Kelthom bersama cucunya, Siti Aishah.

Sementara itu cucunya, Siti Aishah Mohamad, 41, berkata, mereka bersyukur dan bertuah kerana masih dapat meraikan Aidilfitri bersama neneknya yang kini sudah mencecah usia seabad.

"Setiap kali hari raya, nenek insan yang paling sibuk walaupun sekarang pergerakannya sudah terhad. Dia tetap akan menemani kami di dapur siapkan hidangan dan akan menjadi orang terawal bertanyakan tentang persiapan.

"Kalau boleh selepas mandi sunat hari raya, nenek hendak kami berkumpul dan bermaaf-maafan. Dalam keluarga kami sudah menjadi tradisi selepas solat sunat Aidilfitri semua ahli keluarga akan berkumpul di rumah nenek. Kalau dihitung lebih 100 orang sehingga kadang kala tidak muat rumah serta makanan terpaksa ditambah dari pagi sampai ke petang,” cerita Siti Aishah.

Malah Kelthom juga tidak pernah meninggalkan puasa serta amalan harian untuk kesihatan ialah makan tiga buku garam kasar dan segelas air sebaik bangun dari tidur serta mengamalkan ayat kursi selepas solat.