SUBANG JAYA - Polis menerima 59 laporan susulan berhubung insiden letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan itu berkaitan rumah dan kenderaan yang terjejas akibat kejadian tersebut.
*Mangsa yang cedera turut membuat laporan polis," katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Rabu.
Kata beliau, pihaknya akan menjaga keselamatan harta benda penduduk yang terlibat dalam kejadian itu
"Kita akan berada di lokasi kejadian dalam tempoh 24 jam bagi memantau serta memastikan tiada kes kecurian terhadap harta benda mangsa. Setakat ini, tiada laporan kes kecurian," ujarnya.
Mengulas lanjut, siasatan dan pemeriksaan di lokasi kebakaran saluran paip gas akan dilakukan oleh 20 agensi pada Rabu.
"Antara agensi yang terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan berkenaan," ujarnya.
Pada Selasa, media melaporkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi.Balai bantuan turut terlibat ialah BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara dan BBP Damansara, BBP KLIA dan BBP Serdang.
Kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.