Kebakaran saluran gas: 118 keluarga ditempatkan di PPS

Iklan
Wan Azlan dalam sidang akhbar di lokasi kejadian kes kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Rabu.

SUBANG JAYA - Seramai 529 penduduk melibatkan 118 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, daripada jumlah itu, 110 keluarga membabitkan 485 orang ditempatkan di Dewan Masjid Putra Heights, manakala Dewan Camelia menempatkan lapan keluarga terdiri daripada 44 orang.

Iklan
Iklan

Katanya, setakat ini seramai 111 mangsa mendapat rawatan di hospital berdekatan.

"Jumlah ini mungkin berubah berbanding semalam kerana kemungkinan ada mangsa yang baru sahaja rasa sesak nafas di PPS dan sebagainya sebelum dirujuk ke hospital untuk pemantauan.

Iklan

"Daripada jumlah 111 orang ini, 80 orang berada di bawah kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 31 orang di hospital swasta.

"Setakat ini, mangsa yang berada di zon merah seramai 13 orang, zon kuning (55 orang) dan zon hijau (43 orang)," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, antara hospital terlibat ialah Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Kajang dan Hospital Cyberjaya.

Tambahnya, harta benda yang terjejas dalam insiden itu membabitkan 235 buah premis kedai dan rumah iaitu 87 unit terbakar, manakala 148 terjejas. Bagi kenderaan, sebanyak 399 terkesan, di mana 225 terbakar dan 174 terjejas.

Jelasnya, sebanyak 20 agensi dengan kekuatan 272 orang terlibat pada hari kedua untuk tindakan lanjut di lokasi kejadian.

"Bomba akan buat inventori kerosakan ke atas rumah terlibat secara terperinci untuk mengetahui kerosakan rumah.

"Sebuah jentera bomba bersama enam anggota juga berada dalam siap siaga jika ada kemungkinan kebakaran kecil di rumah penduduk. Kita ada kesan masih terdapat kebakaran kecil di rumah mangsa (pagi tadi) dan pihak bomba akan pastikan tiada lagi kes itu yang kemungkinan ada bara di kediaman itu yang boleh merebak ke rumah lain," ujarnya.

Dalam insiden yang berlaku pada Selasa, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.

Balai bantuan turut terlibat ialah BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara dan BBP Damansara, BBP KLIA dan BBP Serdang.

Kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.