GENTING GAZA - Kedatangan 1 Syawal pada kali ini tidak membawa sebarang makna buat penduduk Palestin di Genting Gaza.
Hari kemenangan buat Muslim yang sepatutnya diraikan meriah hanya membawa kesedihan buat penduduk Palestin berikutan kebanyakan mereka kehilangan orang tersayang dalam perang genosid yang berlarutan selama lebih 17 bulan.
Selain itu, mereka juga berdepan krisis bekalan makanan akibat sekatan dikenakan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut sejak gencatan senjata fasa pertama berakhir pada awal Mac.
Meskipun tanpa juadah yang enak untuk dikongsi bersama atau pakaian baharu untuk digayakan, penduduk Palestin tetap menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar masjid yang binasa.
Mesir dan Qatar selaku perantara proses damai sedang berusaha untuk melaksanakan semula gencatan senjata selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kembali memperhebatkan serangan ke atas Gaza.
"Pembunuhan beramai-ramai semakin berleluasa, ramai penduduk kebuluran dan menderita. Tiada istilah kegembiraan buat kami. Ketibaan Aidilfitri pada kali sepi tidak seperti tahun-tahun sebelum perang ini bermula," ujar Saed al-Kourd.
Pada Isnin, Zionis mengeluarkan arahan pemindahan paksa baharu ke atas penduduk di bandar Rafah di selatan Gaza.
"Kawasan Rafah dan sekitarnya termasuk Khan Yunis kembali menjadi medan tempur. Sebagai langkah keselamatan, anda perlu segera berpindah ke al-Mawasi," ujar IDF merujuk kepada 'zon selamat' ciptaan mereka yang turut dihujani bom sebelum ini.
Penduduk di selatan Gaza sekali lagi terpaksa berpindah beramai-ramai tanpa jaminan keselamatan mereka akan dilindungi di al-Mawasi. - AFP