PASIR PUTEH – Lautan bergelora dan jauh dari keluarga bukan alasan bagi Laskar Kanan Mohd Saiful Umri Umar, 36, menggalas tanggungjawab besar sebagai Ketua Tukang Masak di atas kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Bagi Mohd Saiful, tugas sebagai tukang masak bukan sekadar menyediakan hidangan, tetapi lebih kepada memastikan anak kapal kekal bertenaga dan bersemangat sepanjang bertugas di laut.
Namun, katanya, perjalanan menjadi ketua tukang masak tidaklah mudah, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran cuaca dan keadaan laut yang sering berubah-ubah.
Meskipun tidak memiliki latihan formal dalam bidang masakan, minat mendalam mendorong Mohd Saiful untuk bergiat dalam ‘dunia dapur’.
"Saya memulakan kerjaya sebagai pembantu tukang masak di Labuan sebelum dinaikkan pangkat menjadi ketua tukang masak pada 2019 di Kelantan.
"Masakan di laut bukan seperti di darat. Kita perlu lebih kreatif menyediakan menu kerana keadaan mencabar. Walaupun saya bukan chef terlatih, saya belajar daripada pengalaman dan minat sendiri,” katanya.
Mengendalikan dapur di atas kapal memerlukan ketelitian dan kecekapan luar biasa. Keadaan laut bergelora sering menjadi cabaran utama di mana makanan boleh berterabur apabila kapal dilambung ombak.
"Keadaan gelombang memang sukar. Kadang-kadang semasa memasak, kapal bergoyang begitu kuat. Kami perlu berhati-hati supaya tidak berlaku kemalangan di dapur,” jelasnya.
Selain itu, terdapat risiko kebakaran atau kemalangan ketika bekerja di dapur bergerak yang memerlukan Mohd Saiful mengutamakan keselamatan anak kapal. Namun, itu bukan penghalang untuk terus memberikan yang terbaik.
Meskipun bertugas jauh dari keluarga, Mohd Saiful tetap berusaha memberikan suasana Aidilfitri yang bermakna kepada anak kapal. Seminggu sebelum raya, beliau sudah mula merancang menu yang akan disediakan untuk berbuka puasa dan sahur.
"Menu raya memang istimewa. Saya akan pastikan hidangan yang disediakan dapat mengubat kerinduan anak kapal. Sate adalah menu kegemaran ramai selain rendang daging dan nasi minyak. Walaupun di tengah lautan, kami cuba menghidupkan suasana raya,” katanya.
Walaupun tidak dapat beraya bersama keluarga, Mohd Saiful tahu bahawa kepuasan dapat dilihat pada wajah anak kapal yang menikmati hidangan di tengah laut.
Walaupun berkahwin jarak jauh dengan isteri, Nurul Salwani Mohamad yang kini tinggal di Kuala Lumpur, perasaan rindu sentiasa hadir terutama ketika raya.
"Saya akan membuat panggilan video dengan anak perempuan saya yang berusia empat tahun. Kadang-kadang talian di tengah laut memang susah nak dapat.
"Jika ada isyarat di laut, memang saya ambil peluang bercakap dengan keluarga,” ujarnya.
Sebagai seorang ketua tukang masak kapal, Mohd Saiful mengakui tugas ini lebih daripada sekadar memasak. Ia bagi memastikan anak kapal mendapat bekalan makanan yang mencukupi untuk terus menjalankan tugas mereka di laut.
"Waktu memasak, saya pegang sudip, tetapi bila tiba masa untuk operasi, saya pegang senjata juga.
"Semuanya demi menjaga keselamatan negara,” jelasnya.
Biarpun tidak dapat selalu bersama keluarga, Mohd Saiful tetap merasa bangga dengan tugas yang digalas.
"Kami berkorban, tetapi kepuasan yang saya dapat adalah ketika melihat anak kapal menikmati makanan yang disediakan dan menjalankan tugas mereka dengan penuh semangat,” katanya.