Gelora Aidilfitri, pahlawan negara

Iklan
Kenangan berhari raya di lautan bersama rakan setugas demi kedaulatan negara. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

PASIR PUTEH - Di saat takbir bergema dan keluarga berkumpul menyambut Syawal, ada insan yang terpaksa menahan rindu, beraya jauh di tengah lautan.

Bagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), ombak setinggi lima meter bukan lagi sesuatu yang asing, tetapi hakikat beraya di perairan luas tanpa keluarga tetap menguji jiwa.

Iklan
Iklan

Aidilfitri bagi mereka bukan sekadar perayaan, tetapi lambang pengorbanan demi menjaga keselamatan negara.

Laskar Kelas 1 Maritim, Mohd Syazrul Hazim Md Rodzi, 27, antara mereka yang merasai cabaran itu di Kelantan.

Iklan

"Sepanjang sembilan tahun bertugas, saya hanya dapat beraya di rumah sebanyak empat kali. Selebihnya di tengah laut bersama rakan setugas,” katanya ketika ditemui pada Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 di Perairan Tok Bali di sini.

Anak kelahiran Kedah itu mengakui ada rasa sedih kerana tidak dapat meraikan Syawal bersama isteri dan dua anaknya yang berusia dua tahun dan setahun.

Iklan

"Sebagai suami dan ayah, saya pasti rindu, tetapi isteri faham kerana ini adalah tugas saya,” katanya.

Aidilfitri bagi mereka bukan sekadar perayaan, tetapi lambang pengorbanan demi menjaga keselamatan negara.. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Bertugas di lautan luas bererti mereka perlu berdepan cuaca yang tidak menentu, terutama ketika musim monsun.

Dalam satu operasi, mereka boleh berada sejauh 160 hingga 170 batu nautika dari Muara Tok Bali dan perjalanan mengambil masa kira-kira tujuh hingga lapan jam sebelum tiba ke lokasi.

Setiap operasi mengambil masa lapan hari di laut sebelum mereka kembali ke darat untuk mengisi semula bekalan makanan.

Dua tahun berjauhan dengan isteri

Bagi Laskar Kelas II Muhammad Baihaqi Atiqullah Md Shahril, 25, pengalaman beraya di tengah lautan bukan sesuatu yang baharu dalam hidupnya.

Dia yang berasal dari Jitra, Kedah pernah melalui tiga tahun perkahwinan jarak jauh (PJJ) dengan isterinya yang bertugas sebagai petugas kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum mereka dapat tinggal bersama di Kelantan.

"Kami sudah biasa berjauhan kerana tugas masing-masing.

"Selama empat tahun berkhidmat, saya hanya dapat beraya di rumah sekali. Selebihnya saya di kapal atau dalam operasi,” katanya.

Aidilfitri bagi Baihaqi bukan sekadar bermakna berjauhan dengan isteri, tetapi juga jauh daripada keluarga di kampung halaman.

"Ibu ayah di Kedah, isteri pula di Kelantan.

"Bila bertugas di laut, saya terpisah daripada kedua-duanya. Memang ada rasa sebak, tetapi saya anggap ini adalah pengorbanan untuk negara,” katanya.

Pengorbanan demi negara

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi, berkata pengorbanan anggota yang bertugas ketika musim perayaan sangat dihargai.

Anggota Maritim Malaysial Kelantan yang mengawal perairan negeri ini. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

"Keselamatan perairan negara tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan apabila aktiviti di laut tetap berjalan seperti biasa.

"Saya bangga dengan komitmen setiap anggota yang rela berkorban demi memastikan perairan negara selamat,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun ada sebahagian anggota yang perlu bertugas ketika Aidilfitri dan pihaknya memastikan kebajikan mereka tetap terjaga.

"Walaupun beraya di tengah laut, kami berusaha memastikan mereka dapat merasai suasana Aidilfitri dengan menyediakan juadah khas dan memberi peluang mereka berkomunikasi dengan keluarga,” katanya.