Identiti tiga maut babit lima kenderaan di Lebuhraya KL-Karak dikenal pasti

Iklan
Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan lima kenderaan mengorbankan tiga nyawa di KM50.8 Lebuhraya KL-Karak pada petang Ahad.

BENTONG – Tiga mangsa yang maut dalam nahas melibatkan lima kenderaan di Kilometer 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Ahad telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa terdiri daripada pemandu kereta Honda Accord, Wong Kean Yeap, 29, kakaknya, Wong Hwee Moon, 34, dan ibu mereka, Lee Lai Cheng, 61.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiga penumpang kereta tersebut yang cedera ialah seorang lelaki berusia 33 tahun serta dua kanak-kanak masing-masing berusia tiga dan lima tahun.

"Kanak-kanak lelaki dan perempuan itu merupakan anak kepada pemandu serta seorang lagi anak kakaknya yang maut dalam nahas tersebut.

Iklan

"Turut cedera ialah kelindan lori tiga tan yang turut terlibat dalam kemalangan ini.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan," katanya.

Iklan

Zaiham berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.25 petang.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas terbabit nahas lima kenderaan di KM50.8 Lebuhraya KL-Karak pada petang Ahad.

"Siasatan awal mendapati lori tiga tan yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

"Lori terbabit kemudian memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa lapan mangsa lain, terdiri daripada pemandu dan penumpang tiga kenderaan lain, terselamat dalam nahas tersebut.