KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan polis daripada keluarga kepada peniaga belon yang mendakwa dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam insiden kekecohan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, sebelum ini laporan polis dibuat DBKL dan yang terbaharu adalah laporan dibuat keluarga kepada individu iaitu peniaga belon yang terlibat.
"Lima keterangan direkodkan setakat ini membabitkan empat penguat kuasa DBKL serta penjaja belon terbabit.
"Laporan polis telah diterima daripada kedua pihak iaitu DBKL dan juga yang terbaru daripada keluarga peniaga belon yang terlibat dalam kekecohan berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, setakat ini tindakan dijalankan hanya melibatkan proses rakaman percakapan lima individu yang berada ketika kejadian.
"Setakat ini polis tidak menjalankan sebarang tangkapan berhubung kes ini dan siasatan sedang dilengkapkan dengan keterangan saksi terutamanya saksi bebas serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Kes sedang disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi.
"Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian terbabit.
"Polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan," katanya.
Kejadian pada Jumaat itu telah tular menerusi satu video berdurasi 1 minit 42 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook.
Video itu memaparkan kekecohan antara penjaja belon atau 'abang belon' tidak berlesen dan anggota penguat kuasa DBKL ketika proses penyitaan barangan di tepi jalan berkenaan.
Semasa proses penyitaan dijalankan, berlaku pergelutan antara anggota penguat kuasa DBKL dan penjaja terbabit selain beberapa penjaja lain yang turut membuat provokasi.