Kerajaan Perak, AirAsia tubuh jawatankuasa bersama kaji laluan baharu ke Ipoh

Iklan
Sze Yee menunjukkan antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan di LTSAS ketika meninjau lapangan terbang tersebut pada Sabtu.

IPOH – Kerajaan negeri Perak dan syarikat penerbangan AirAsia bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi mengkaji kebolehlaksanaan laluan penerbangan baharu dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, cadangan itu dikemukakan oleh AirAsia dan kerajaan negeri menyambut baik perkara tersebut bagi membolehkan lebih banyak penerbangan dari Ipoh ke destinasi lain sama ada domestik atau luar negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu penting kerana kerajaan negeri kekurangan data penerbangan bagi laluan lain selain Ipoh–Singapura yang sebelum ini dikendalikan oleh AirAsia.

"Kita sering berdepan kesukaran apabila berbincang dengan syarikat penerbangan lain kerana mereka memerlukan data jumlah penumpang bagi laluan tertentu. Namun, LTSAS tidak mempunyai data penerbangan ke destinasi lain selain Singapura.

Iklan

"AirAsia telah bersetuju untuk berkongsi data yang mereka miliki, termasuk maklumat tempahan tiket dan profil penumpang, bagi membantu kerajaan negeri dalam kajian ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja naik taraf lapangan terbang itu di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Sze Yee berkata, kerajaan negeri turut berbincang dengan syarikat penerbangan Scoot dari Singapura untuk mengambil alih slot yang ditinggalkan AirAsia.

"Perbincangan bersama Scoot berjalan secara positif kerana mereka melihat kadar muatan penumpang (load factor) di Ipoh sentiasa memuaskan.

"Mereka sedang mempertimbangkan sama ada untuk menggunakan pesawat berkapasiti lebih besar atau menambah laluan penerbangan dari Ipoh, tetapi keputusan akhir bergantung kepada perbincangan lanjut dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” katanya.

Sze Yee turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri sedang mencari jalan untuk menjadikan Ipoh sebagai hab transit penerbangan bagi mengatasi cabaran mendapatkan laluan terus ke destinasi utama.

Beliau mengakui agak sukar untuk Ipoh bersaing dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi mendapatkan laluan terus ke bandar-bandar besar.

Katanya, disebabkan itu model penerbangan tiga hala seperti Ipoh–Singapura–Australia sedang diteliti bagi memastikan laluan dari Ipoh lebih berdaya maju.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang giat berusaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTSAS bagi meningkatkan aksesibiliti udara dan merancakkan pertumbuhan ekonomi Perak.

Dalam perkembangan lain, Sze Yee memaklumkan kerja-kerja naik taraf LTSAS yang melibatkan peruntukan RM8 juta dijangka siap dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketika ini perkembangan kerja-kerja naik taraf tersebut sudah melebihi 90 peratus melibatkan beberapa penambahbaikan termasuk di Balai Ketibaan dan Balai Perlepasan.