Tentera Israel mengaku serang ambulans di Genting Gaza

Iklan
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di bengkel pembaikan ambulans yang terkena serangan Israel di kem pelarian al-Maghazi, Genting Gaza. - AFP

Selepas siasatan awal, tentera Israel mengesahkan beberapa kenderaan itu adalah ambulans dan trak bomba, serta menuduh kumpulan bersenjata di Gaza menyalahgunakan kenderaan kecemasan untuk tujuan ketenteraan

GAZA CITY – Tentera Israel mengaku melepaskan tembakan ke arah ambulans di Genting Gaza selepas mengenal pasti kenderaan itu sebagai 'mencurigakan', dalam serangan yang disifatkan Hamas sebagai jenayah perang yang mengorbankan sekurang-kurangnya seorang, lapor Arab News.

Serangan itu berlaku Ahad lalu di kejiranan Tal Al-Sultan, Rafah, berhampiran sempadan Mesir.

Iklan
Iklan

Israel melancarkan serangan darat di Rafah pada 20 Mac, dua hari selepas menyambung semula pengeboman udara ke atas Gaza selepas gencatan senjata hampir dua bulan.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel mendakwa telah menembak ke arah kenderaan Hamas dan membunuh beberapa anggota pejuang.

Iklan

Tambahnya, beberapa minit kemudian, tentera Israel melihat kenderaan lain menghampiri secara mencurigakan dan turut melepaskan tembakan.

Selepas siasatan awal, tentera Israel mengesahkan beberapa kenderaan itu adalah ambulans dan trak bomba serta menuduh kumpulan bersenjata di Gaza menyalahgunakan kenderaan kecemasan untuk tujuan ketenteraan.

Iklan

Bagaimanapun, Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata mereka telah kehilangan hubungan dengan pasukan penyelamat yang dihantar ke lokasi serangan.

Keesokan harinya, mayat ketua pasukan ditemui bersama kenderaan ambulans dan trak bomba yang musnah.

Jurucakap Hamas, Basem Naim, menyifatkan serangan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai secara kejam terhadap pasukan penyelamat dan satu pelanggaran jelas terhadap Konvensyen Geneva.

Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher berkata, sejak 18 Mac serangan udara Israel di kawasan padat penduduk telah membunuh ratusan kanak-kanak dan orang awam.

"Pesakit dibunuh di katil hospital mereka. Ambulans ditembak. Pasukan penyelamat terbunuh. Jika undang-undang kemanusiaan masih bermakna, masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera,” katanya. - Agensi