8 ekor lembu, dua tan ayam licin dalam sejam

Iklan
Syed Abu Hussin (dua dari kiri) turut membantu membuat jualan kepada orang ramai sempena JTM Aidilfitri Parlimen Bukit Gantang di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang pada Sabtu.

TAIPING - Dalam masa satu jam, daging lapan ekor lembu, dua tan ayam segar habis terjual sempena Jualan Termurah Madani (JTM) Aidilfitri Parlimen Bukit Gantang di dua lokasi di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, waktu jualan yang dijadual bermula pada jam 8 pagi terpaksa diawalkan berikutan orang ramai yang sudah menunggu seawal jam 7 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih 1,000 pengunjung mula berbaris di tempat jualan yang ditetapkan iaitu di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di Kampung Benggali di sini serta di kawasan Trong.

"Daging dan tulang lembu segar yang disembelih malam tadi (Jumaat) kita jual hanya RM28 sekilogram, manakala satu kepak ayam cuma 50 sen seketul sahaja.

Iklan
Orang ramai sanggup beratur panjang seawal jam 7 pagi bagi mendapatkan keperluan hari raya sempena JTM Aidilfitri Parlimen Bukit Gantang di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang pada Sabtu.

"Tujuan kita buat JTM ini untuk membantu orang ramai membeli keperluan hari raya pada harga yang berpatutan seperti yang kita buat sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Syed Abu Hussin berkata, program JTM yang dilaksana lebih tiga tahun yang lalu tanpa subsidi daripada kerajaan tetapi masih mampu memberikan harga lebih rendah daripada pasaran.

Iklan

Menurutnya, kaedah yang digunakan untuk membuat JTM itu dengan cara mendapatkan terus barang-barang daripada pembekal tanpa melalui orang tengah.

"Melalui JTM ini kita memberi tekanan kepada pasaran yang kebanyakan sekarang ni dikawal oleh kartel. Kartel akan mengambil keuntungan yang semaksimum mungkin, memanipulasi harga dan akhirnya rakyat yang kena bayar.

"Jadi kita cuba mengelakkannya berlaku, kita bawa terus kepada pengguna, tidak ada orang tengah. Dengan cara ini kita berikan tekanan kepada pasaran supaya pasaran ikut. Alhamdulillah, sekarang ini jualan murah sudah merebak di merata tempat, semua orang buat jualan murah," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui mengakui JTM sangat membantu meringankan beban untuk mereka membuat persiapan Aidilfitri.

Seorang pengunjung, Zuraida Othman, 57, dari Taman Kaya di sini memberitahu seawal jam 8 pagi datang untuk membeli daging tetapi malangnya sudah habis lebih awal.

Katanya, hanya kepak ayam 50 sen seketul yang dalam dibeli selain barang-barang keperluan lain seperti minyak masak, tepung dan sebagainya.

"Memang saya selalu beli barang-barang setiap kali ada JTM ini sebab harga murah 30 peratus daripada harga biasa. Cuma kali ini tak ada rezeki nak beli daging sebab dah habis awal.

"Saya beli apa yang ada sahaja sebab ada juga barang-barang keperluan lain yang murah seperti minyak masak dan beras," katanya.

Bagi Roslina Che Mei, 49, dari Kamunting pula, JTM itu memang dinanti-nantikan sejak tahun lepas membeli daging untuk keperluan hari raya.

Namun katanya, tahun ini ini tidak sempat membeli daging disebabkan sudah habis terjual dan hanya membeli paru sahaja.

"JTM ini bagus, memang tolong ringankan beban sebab boleh jimat banyak. Lagi murah beli dari kat pasar raya. Memang sangat membantu mereka yang memerlukan.

"Cuma itulah, sekejap sahaja sudah habis. Ingatkan sempat beli daging. Jadi saya beli apa yang ada sahaja," katanya.

Selain daging dan ayam, barangan yang turut dijual termasuklah kerang, beras putih tempatan, minyak masak dan pelbagai jenis barangan kering.