KOTA BHARU - Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah mampu menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga pendidik.
Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, langkah itu masih belum terlambat untuk dilaksanakan dalam usaha menyelamatkan perpaduan kaum di negara ini.
"Kami (GPMS) melihat langkah ini bukan sekadar soal pemakaian (lencana) tetapi lebih kepada usaha untuk menyelamatkan perpaduan negara yang semakin rapuh.
"Ketika ini, amat merisaukan apabila patriotisme kian hilang dan tidak lagi dianggap penting oleh sebahagian masyarakat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut beliau, walaupun ramai yang mempersoalkan tindakan ini namun ia dilihat lebih bersifat tanggapan tidak baik yang dibimbangi boleh merosakkan pemikiran rakyat.
Katanya, sikap sedemikian membuktikan bahawa masyarakat hari ini semakin hilang rasa cinta kepada negara apabila mereka lebih cenderung untuk melihat sesuatu yang baik daripada sudut negatif semata-mata.
"Kami percaya, pemakaian lencana Jalur Gemilang adalah satu langkah simbolik yang mampu memperkukuh rasa cinta terhadap negara dalam kalangan generasi muda.
"Sekolah adalah institusi terbaik untuk memulakan usaha ini kerana di sinilah nilai-nilai murni dan semangat kebangsaan perlu dipupuk sejak awal.
"Langkah awal yang penting dalam mengelakkan masyarakat daripada tidak menghormati prinsip Rukun Negara dan mempertikai Perlembagaan Persekutuan.
"Jika kita tidak memulakan usaha ini sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti akan ada generasi yang langsung tidak mengenali Jalur Gemilang atau memahami erti kemerdekaan negara," katanya.