KUANTAN- Peniaga diingatkan supaya tidak memanipulasi kualiti santan segar dengan mencampurkan air selepas kerajaan menetapkan harga maksimum RM17.50 sekilogram di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh berkata, kawalan harga itu bertujuan memastikan rakyat tidak terbeban menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, penetapan harga itu dibuat selepas menilai kadar keuntungan peniaga dan mengekalkan kestabilan pasaran.
"Kita ingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan mencampurkan dengan air dan mencairkan santan dan harga ini bagi membantu rakyat.
"Kita (KPDN) tahu mereka (peniaga tetap untung walaupun dengan RM17.50 sekilogram, sebab itu harga siling ini ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas tinjauan mesra pada program jualan Rahmah Madani mega Aidilfitri di hadapan pasar nelayan Pantai Sepat, di sini pada Jumaat.
Fuziah berkata, sebelum harga maksimum ditetapkan, harga santan di pasaran boleh mencecah sehingga RM28 sekilogram.
Jelasnya, harga terbabit bergantung kepada lokasi dan permintaan daripada pelanggan.
"Sebelum ini harga santan ada yang dijual pada RM22 hingga RM23 sekilogram, malah ada yang mencecah RM28 sekilogram.
"Tetapi mulai 24 Mac, mereka tidak boleh menjual lebih daripada RM17.50 sekilogram," tegas beliau.
Dalam perkembangan sama, Fuziah berkata, sebanyak 1,478 aduan pelanggaran harga maksimum di bawah SHMMP diterima di seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah itu, 378 kes sedang disiasat di melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga merah jambu, selain ada yang menjual barangan melebihi harga siling.
"Di Pahang sahaja, sebanyak 53 aduan diterima dan 18 kes telah disiasat kerana melanggar peraturan, termasuk dua kes menjual barangan pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.
"Tiada denda dikenakan setakat ini, namun siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil jika peniaga melanggar peraturan SHMMP yang berkuat kuasa 24 Mac hingga 7 April depan," ujarnya.
Selain itu, beliau menasihatkan pengguna supaya lebih berwaspada dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati sebarang ketidakpatuhan.
"Kita juga akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna sempena musim perayaan ini," katanya.