'Bodyguard' dipukul majikan kerana berpuasa syukur keadilan ditegakkan

Iklan
Mohd Azminizam

KLANG - Dua pengawal peribadi yang dihina, dicederakan dan diugut kerana berpuasa pada 2021 bersyukur kerana Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat menjatuhi bekas majikannya hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000.

Mohd Azminizam Zulkepli, 48, berkata, walaupun kejadian itu berlaku lebih empat tahun lalu, namun ia masih dibelenggu trauma yang hebat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian itu sukar dilupakan terutama setiap kali menjelang Ramadan.

"Ketika kejadian, niat saya hanya mahu menyempurnakan ibadat ketika di bulan Ramadan namun kami dihina dan dicederakan majikan.

Iklan

"Alhamdulillah, doa saya dan keluarga dimakbulkan ALLAH apatah lagi keputusan mahkamah ini juga pada diputuskan pada bulan puasa," katanya sebak ketika ditemui selepas prosiding kes.

Sementara itu, Ahmad Shamsuri Zailani, 31, berkata, selepas empat tahun turun naik mahkamah, akhirnya penat lelahnya membuahkan hasil.

Mohd Azminizam (dua dari kanan) dan Ahmad Shamsuridan (kiri) yang dihina, dicederakan dan diugut kerana berpuasa pada 2021 bersyukur kerana Mahkamah Majistret Klang pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan serta denda RM22,000 terhadap bekas majikan mereka.

Iklan

"Inilah keadilan buat kami dan perjuangan selama ini tidak hanya sia-sia.

"Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mendoakan kami," katanya.

Tambah beliau, tugasnya sebagai pengawal peribadi ialah untuk menjaga majikan namun ia tidak bermakna mereka wajar dipukul atau dihina.

Pada Jumaat, tindakan seorang ahli perniagaan yang menghina, mencederakan, dan mengugut pengawal peribadi kerana berpuasa pada 2021 mengundang padah apabila dia dihukum penjara enam tahun 10 bulan serta didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret, Siti Zubaidah Mahat membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan yang mewakili Chung Chee Yang, 47, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap semua pertuduhan pindaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, manakala kes kedua iaitu mengeluarkan perkataan-perkataan yang melukakan agama Islam di bawah Seksyen 298 kanun yang sama, tertuduh dihukum penjara setahun dan denda RM10,000.

"Bagi kes sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000, semua hukuman pemenjaraan berjalan secara berasingan," katanya.

Mahkamah turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.

Susulan itu, dia diperintahkan ke Penjara Kajang serta-merta bermula Jumaat.