Tangan tertusuk besi di sekolah: Kecederaan Nasuha serius, mungkin cacat kekal

Iklan
Keadaan tapak tangan kanan Nasuha selepas balutan dibuka. Foto kanak: Nasuha kini berlatih menulis menggunakan tangan kiri susulan kecederaan tangan kanan yang dialami.

IPOH - Kecederaan tangan dialami seorang murid akibat tertusuk besi pemegang tangga di sebuah sekolah dekat Hulu Kinta di sini minggu lalu kemungkinan memberi kesan jangka masa panjang.

Bapa mangsa, Mohamad Fairoz Sanit, 36, berkata, kecederaan pada tapak tangan kanan dialami anaknya, Nasuha Batrisyia, 12, adalah serius kerana membabitkan otot, saraf dan kulit yang hilang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menjejaskan peluang untuk tangan tersebut pulih seperti asal.

"Selepas pembedahan dilakukan tempoh hari, doktor ada maklumkan kecederaan begini ambil masa lama untuk pulih.

Iklan

"Ada keberangkalian tinggi juga berlaku kesan lain seperti bengkok yang membawa kepada cacat kekal.

"Sekarang ini pun, setiap kali balutan tangan dibuka, darah masih lagi keluar dan mengalir," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi pada 20 Mac lepas, murid Tahun Enam tersebut terjatuh ketika menuruni anak tangga sebelum berpaut pada pemegang tangga yang sudah berkarat dan berlubang mengakibatkan tapak tangannya mengalami luka teruk dan berdarah.

Mohamad Fairoz yang bekerja sebagai penghantar makanan (food rider) berkata, kesan kejadian itu, kulit tapak tangan kanan anaknya tertanggal hampir 50 peratus dan doktor yang merawat terpaksa lakukan jahitan di hampir kesemua jari tangan.

Dia dan isteri, Nor Azira Mohamd, 38, kini melatih anak kedua daripada empat beradik tersebut menulis dan membuat kerja sekolah menggunakan tangan kiri.

Katanya, walaupun keadaan itu janggal, Nasuha tetap berusaha sedaya upaya agar boleh meneruskan rutin biasanya sebagai seorang pelajar.

"Boleh dikatakan hari-hari dia buat latihan, cuba lukis dan menulis guna tangan kiri.

"Walaupun hasilnya tidaklah sebaik tangan kanan yang dominan, tetapi kami bangga dengan semangatnya. Dia tidak putus asa dan mencuba lakukan terbaik untuk pastikan dapat kembali ke sekolah," katanya.

Insiden tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian umum termasuk Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak melakukan siasatan penuh.

Dalam hantaran tular tersebut, seorang wanita memaklumkan anaknya mengalami kecederaan di tangan akibat tertusuk besi tangga sekolah yang berkarat.

Akibat kecederaan itu, anaknya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kos hampir RM10,000 selepas terpaksa menunggu lama untuk jalani rawatan pembedahan di hospital kerajaan.

Mohamad Fairoz berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana bimbang melihat keadaan tapak tangan anaknya yang sudah bertukar warna kehitaman.

"Selepas pembedahan selesai, esoknya saya dan isteri minta kebenaran untuk daftar keluar kerana tahu di swasta perlukan kos yang tinggi.

"Apatah lagi kami juga perlu sediakan keperluan sekolah anak-anak yang lain dan persiapan Aidilfitri ini.

"Buat masa sekarang, Nasuha masih perlu jalani rawatan susulan di klinik kesihatan dan fisioterapi di hospital," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamad Fairoz di talian 0132049381.