KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun hancur tangan kiri selepas mercun yang diubah suai meletup dalam kejadian di Tumpat, pada Rabu.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu mangsa difahamkan bermain mercun yang diubah suai bersama dua rakan lain.
Bagaimanapun, dua rakan mangsa yang turut bermain mercun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
"Kesan letupan mercun itu mengakibatkan tangan kiri mangsa hancur.
"Mangsa turut mengalami luka pada bahagian muka," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.
Menurut beliau, kanak-kanak ini merupakan mangsa terbaharu letupan mercun di Kelantan.
Katanya, sepanjang Ramadan ini sebanyak 23 kes membabitkan mercun direkodkan.
Dr Zaini berkata, daripada jumlah itu 13 mangsa dimasukkan ke wad, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Nasihat saya kepada ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak masing-masing.
"Pastikan anak-anak tidak bermain mercun yang boleh membahayakan keselamatan," katanya.