SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan produk kosmetik dikesan menggunakan kenderaan perkhidmatan awam untuk menghantar barangan mereka kepada pelanggan.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, barangan kosmetik disorok dan diseludup masuk bersama barang dagangan lain melalui pintu masuk sempadan negara menggunakan laluan tikus.
"Selain itu, penyeludupan juga menggunakan bot atau perahu berlabuh di pangkalan haram di sepanjang laluan denai bersempadan negara jiran.
"Barangan kosmetik tersebut kemudian dipindahkan ke kenderaan sebelum dihantar ke lokasi yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, bagi tempoh sejak 2023 sehingga 24 Mac lalu, sebanyak 11 kes direkodkan dengan nilai rampasan RM589,945.44 dan cukai berjumlah RM16,937.13.
Anis Rizana menjelaskan, terdapat peningkatan 81 peratus bagi jumlah kes dan 477 peratus untuk jumlah rampasan pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
"Peningkatan dicatatkan adalah hasil pelaksanaan strategi lebih bersasar dan komitmen berterusan pegawai dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan integriti," katanya.
Tegasnya, JKDM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini dan akan mengambil tindakan tegas selaras peruntukan undang-undang.
"Penyeludupan produk kosmetik sering melibatkan individu membawa masuk barangan tanpa pengisytiharan sah. Oleh itu, JKDM akan terus menjalankan analisis terhadap modus operandi terkini berkaitan penyeludupan barangan kosmetik bagi memastikan strategi penguatkuasaan dilaksanakan tepat, berkesan dan bersesuaian dengan corak penyeludupan semasa," katanya.
Menurut beliau, penyeludupan produk kosmetik adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam terlibat atau RM50,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau juga menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan, terutamanya bagi rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri. JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," tambahnya.