KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau ketat peniaga santan bagi memastikan harga maksimum RM17.50 sekilogram sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri tahun ini, dipatuhi.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga menjual santan melebihi harga kawalan bagi melindungi hak pengguna.
"Harga runcit maksimum santan pada RM17.50 sekilogram dan peniaga wajib mematuhi peraturan ini bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga tidak munasabah.
"Pegawai penguat kuasa serta pemantau harga akan turun ke pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah untuk memastikan pematuhan peniaga sepanjang tempoh skim kawalan ini,” katanya pada sidang akhbar sempena Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2025 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kawalan harga ini adalah sebahagian usaha kerajaan mengekang kenaikan harga barang keperluan semasa musim perayaan yang sering menjadi isu dalam kalangan pengguna.
Katanya, kerajaan memahami cabaran dihadapi peniaga berikutan pengurangan bekalan kelapa di pasaran, namun tidak boleh dijadikan alasan melanggar harga kawalan ditetapkan.
Menurut Azman, pihaknya sudah berhubung dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan mendapati masalah bekalan kelapa di Kelantan berpunca daripada serangan kumbang merah yang menjejaskan pengeluaran tempatan.
"Bagi menampung permintaan, peniaga terpaksa mendapatkan bekalan dari luar negeri, tetapi itu bukan alasan menaikkan harga sesuka hati.
"Harga ditetapkan adalah berdasarkan kajian menyeluruh dan mesti dipatuhi,” katanya.
Dalam pada itu, pelaksanaan SHMMP sempena Aidilfitri tahun ini bermula 24 Mac lalu hingga 7 April melibatkan 24 barangan kawalan termasuk santan.
Lain-lain seperti kelapa biji borong ditetapkan maksimum pada RM3.50 sekilogram dan kelapa parut runcit maksimum RM13.20 sekilogram.
"Kami tidak akan berkompromi dengan peniaga yang sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga melebihi kadar ditetapkan.
"Tindakan kompaun dan pendakwaan boleh dikenakan sekiranya mereka didapati melanggar peraturan ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya melaporkan sebarang ketidakpatuhan harga menerusi pelbagai saluran aduan disediakan KPDN.
"Kami mengalu-alukan pengguna menyalurkan aduan melalui talian hotline, WhatsApp atau portal e-aduan KPDN sekiranya mereka mendapati ada peniaga tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.