Tergamak jual makanan tidak selamat

Iklan
Makanan bercucuk terdiri daripada pelbagai jenis bebola serta sosej menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Gambar hiasan

RAMAI je peniaga yang buat, cuma tak kantoi.”

Penulis tertarik dengan salah satu daripada ribuan komen di video tular membabitkan kes peniaga bazar Ramadan dikenal pasti meninggalkan bahan mentah hidangan ‘cucuk-cucuk’ di tapak jualan dengan hanya ditutupi kanvas.

Iklan
Iklan

Makanan bercucuk terdiri daripada pelbagai jenis bebola serta sosej itu diletakkan dalam raga tidak ditutup dengan sempurna dan jelas berisiko terdedah dengan pelbagai jenis pencemaran.

Berbalik kepada komen tersebut, antara lain warganet turut membahaskan kemungkinan makanan tersebut juga termasuk jualan yang tidak habis yang dijual semula.

Iklan

Bahkan, terdapat juga komen warganet yang mendakwa pernah bekerja dengan peniaga makanan 'cucuk-cucuk' mengakui majikan memang mengamalkan kitar semula makanan tidak habis.

Dakwanya, tepung yang bersalut pada makanan yang tidak habis dijual akan dibuang dan makanan yang sama akan digoreng semula mengggunakan tepung baharu esoknya.

Iklan

Melampau!

Bagi pelanggan yang berpengalaman dan tahu membezakan makanan yang dimasak segar atau dipanaskan semula, mereka bijak memilih apa yang patut dibeli.

Namun, ada sesetengah pengguna mungkin tidak cakna atau tertipu dengan keadaan makanan yang kelihatan elok, lebih-lebih lagi ketika menahan lapar dalam bulan puasa.

Isu ini bukan perkara baharu. Setiap tahun, pasti ada kes peniaga yang bersikap sambil lewa terhadap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual.

Bahkan, tidak keterlaluan jika penulis katakan amalan kitar semula ini tidak hanya berlaku melibatkan peniaga bazar Ramadan, tetapi juga peniaga harian.

Nampak begitu ’murahnya’ kesihatan pelanggan pada mata peniaga yang takut rugi ini.

Dalam kes video tular tersebut, jika benar ia bahan mentah sekalipun, hidangan tersebut merupakan produk sejuk beku dan tidak sepatutnya terbiar pada suhu luar.

Apatah lagi tidak ditutup dengan sempurna dan dibiarkan semalaman.

Pelanggan datang dengan harapan untuk membeli makanan yang bersih dan selamat, tetapi apa yang mereka dapat?

Sedangkan pelanggan berhak mendapatkan makanan yang bersih, segar dan selamat.

Situasi ini bukan sekadar kecuaian, tetapi mencerminkan sikap sambil lewa segelintir peniaga terhadap hak pengguna untuk mendapatkan makanan yang selamat dan berkualiti.

Ya, tidak dinafikan, tindakan kitar semula makanan juga menjadi amalan sesetengah kita yang memilih menyimpan makanan dalam peti sejuk atau dibekukan sebelum dipanaskan untuk mengelak pembaziran.

Namun, makanan dipanaskan boleh menjadi antara sihat atau tidak sihat bergantung kepada cara penyediaan, kaedah penyimpanan dan pemanasan semula.

Meskipun begitu, ia bukan lesen untuk peniaga mengamalkan perkara tersebut kerana setiap wang yang dibelanjakan pelanggan adalah untuk membeli makanan yang segar dan selamat.

Jadi, sudah sampai masanya kita sebagai pengguna bertindak secara serius dengan tidak mudah menerima makanan yang kelihatan mencurigakan atau tidak bersih.

Jangan takut untuk bersuara jika ternampak makanan dijual dalam keadaan mencurigakan dan jangan takut untuk bertanya kepada peniaga tentang kebersihan dan cara penyimpanan mereka.

Jika jawapan mereka tidak meyakinkan, buatlah aduan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jangan lupa rekod bukti supaya pengguna lain juga lebih cakna. Jika perlu, boikot saja peniaga yang jelas gagal memastikan makanan dijual adalah selamat dan bersih.

Sesungguhnya sihat itu mahal. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan jika kesihatan kita terjejas dek sikap peniaga begini?

Ya, mereka boleh dikenakan denda, perniagaan mereka boleh diarahkan tutup.

Tapi, pada akhirnya, pengguna yang menanggung akibatnya.

* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian