SABAK BERNAM - Seorang wanita dan anak perempuannya ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati bayi itu ditinggalkan dalam lubang tandas sebelum ditemui orang awam kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurut beliau, susulan laporan polis, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sabak Bernam telah menahan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun di sebuah kilang di Meru, Klang kira-kira jam 6.15 petang Rabu.
"Hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang bekerja di sebuah restoran makanan segera.
Beliau memberitahu, siasatan lanjut juga mendapati bahawa kedua-duanya adalah ibu dan anak.
Tambahnya, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebuah Perodua Bezza, pakaian serta telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan, seorang bayi ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila terlangkup dalam mangkuk tandas wanita di stesen minyak berkenaan.
Perbuatan kejam itu terbongkar selepas orang awam menemui mayat bayi berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.
Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sebelum ini, kejadian itu tular di Facebook selepas beberapa pengguna memuat naik gambar lokasi kejadian, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengecam perbuatan kejam berkenaan.