SHAH ALAM –"Walaupun suasana Aidilfitri di laut tidak sama seperti di darat, namun semangat kekeluargaan dalam kalangan kru kapal tetap erat.”
Itu kata Pegawai Waran II Maritim, Zali Kadi, yang bertugas sebagai Juragan Kapal Maritim (KM) Nyalau, berkongsi pengalaman beraya di lautan sambil menjalankan tugas penguatkuasaan keselamatan perairan negara.
Menurut pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu, situasi berkenaan merupakan pengalaman unik dan satu pengorbanan untuk negara.
"Sebagai juragan, saya perlu menjadi contoh kepada anak-anak kapal. Memang ada rasa rindu kepada keluarga tetapi tugas menjaga perairan negara lebih utama.
"Di atas kapal, kami bukan sekadar rakan setugas tetapi sudah seperti satu keluarga. Kami saling menyokong dan memastikan semua berada dalam keadaan baik, terutama pada hari istimewa seperti Aidilfitri," katanya baru-baru ini.
Menurut Zali, ini merupakan tahun kedua beliau menyambut Aidilfitri di lautan selepas dilantik sebagai juragan pada Januari 2024.
Beliau menjelaskan bahawa dalam Operasi Khas Pagar Laut Bil 1/2025 sempena Aidilfitri, peranannya bukan sekadar memimpin tetapi juga memastikan disiplin, keselamatan, dan kesejahteraan kru terjaga.
"Ketika rakyat Malaysia bergembira menyambut Syawal, anggota Maritim Malaysia bertugas memastikan perairan negara bebas daripada ancaman penyeludupan, pencerobohan dan aktiviti jenayah maritim.
"Op Khas Pagar Laut memberi tumpuan kepada pengawasan sempadan maritim yang kritikal bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin," ujarnya.
Berkongsi pengalaman berpuasa di lautan, Zali berkata cuaca panas terik, rutin kerja yang padat serta keadaan laut yang tidak menentu menjadi cabaran besar kepada setiap anggota.
"Bertugas di tengah lautan ketika Ramadan bukan sesuatu yang mudah. Namun, semangat kami tidak pernah luntur.
Berbuka di lautan dengan hidangan sederhana, jauh dari keluarga, itu sudah menjadi rutin kami. Tetapi kami anggap ini satu pengalaman unik, satu pengorbanan demi negara," jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa keluarganya memahami dan menghargai tanggungjawab yang dipikulnya.
"Isteri saya sendiri seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), jadi dia lebih memahami pengorbanan ini.
"Sokongan keluarga amat penting untuk kami terus berbakti dengan penuh dedikasi," katanya.
Tambahnya, pengorbanan warga pasukan bukan sekadar tugas tetapi satu amanah yang dipikul dengan penuh keikhlasan.
"Kami mungkin tidak berbaju Melayu lengkap di pagi raya, tetapi semangat patriotisme yang membara di dalam dada adalah hadiah Aidilfitri paling berharga buat negara.
"Bagi golongan muda yang bercita-cita menyertai pasukan keselamatan, pengalaman ini adalah bukti bahawa menjadi sebahagian daripada Maritim Malaysia adalah satu penghormatan besar kepada negara," katanya.