Peniaga rugi lebih RM120,000 terpedaya tawaran kerja palsu

Iklan
Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM120,000 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi iklan di Google. Foto hiasan

PASIR GUDANG - Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM120,000 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi iklan di Google.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan kembali wang yang telah dibayar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian bermula pada 24 Januari lalu apabila mangsa tertarik dengan tawaran kerja di Google dan menekan pautan yang diberikan.

"Mangsa kemudian berurusan dengan individu dipercayai ahli sindiket dan dijanjikan keuntungan tinggi bagi setiap jualan yang dilakukan.

Iklan

"Tanpa menyedari muslihat itu, mangsa melakukan 11 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza, berjumlah keseluruhan RM120,873 antara 3 hingga 28 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu

Mohd Sohaimi memaklumkan, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan serta menutup akaun, tetapi gagal mendapatkan semula wang.

Iklan

Ujarnya, siasatan awal menerusi platform Semak Mule CCID mendapati lima akaun bank yang terlibat mempunyai 22 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan dan tawaran pekerjaan dalam talian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

"Jangan mudah percaya dengan iklan pekerjaan yang menjanjikan keuntungan besar. Pastikan semakan dibuat sebelum melakukan sebarang pembayaran,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengikuti media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi penipuan.

Katanya, sebarang kes penipuan boleh dilaporkan segera kepada National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan awal diambil untuk menyekat aliran keluar wang kepada suspek.