IPOH - Sebuah bengkel kereta yang dijadikan stor haram untuk menyimpan minyak diesel tanpa permit diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam Ops Tiris 2025 di Anjung Tawas Sinaran di sini pada Selasa.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan penguat kuasa agensi itu hasil risikan selama seminggu mendedahkan modus operandi sindiket tersebut.
Menurutnya, bengkel terbabit dipercayai mendapatkan minyak diesel dengan harga murah sekitar RM2 seliter daripada pemandu lori yang mencuri minyak dari tangki kenderaan syarikat mereka sebelum menyedutnya ke dalam tong dram di bengkel berkenaan dan kemudian dijual kepada pihak industri sekitar Ipoh.
"Ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun, yang mengaku sebagai pemilik bengkel, gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit bagi penyimpanan bahan kawalan itu ketika diminta oleh pihak berkuasa.
"Berikutan itu, kita telah merampas minyak diesel sebanyak 5,000 liter, 24 tong dram, 11 tong jerrycan, pam minyak dan sebuah telefon bimbit, dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM19,363.94,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Katanya, jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan berikutnya.
KPDN juga akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Peraturan 9 (2) (b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 terhadap syarikat pembekal minyak diesel yang disyaki menjual bahan kawalan itu kepada individu tanpa lesen atau permit yang sah.
Dalam pada itu, KPDN memberi amaran keras bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.
Kamalludin berkata, orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel atau barang kawalan lain melalui saluran rasmi KPDN seperti WhatsApp di talian 019-8488000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian pusat panggilan 1-800-886-800, atau aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.