World #QuranHour platform terbaik tarik anak muda dekati al-Quran

Iklan
Sebahagian peserta yang menyertai program World #QuranHour di Masjid Mu'adz Bin Jabal pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Program World #QuranHour merupakan platform terbaik menarik minat masyarakat khususnya golongan muda untuk mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Mu'adz Bin Jabal, Datuk Seri Zakaria Sulong berkata, penganjuran kali kelapan program itu di masjid berkenaan berjaya menghimpunkan sekitar 183 peserta yang terdiri daripada golongan dewasa, warga emas, pelajar sekolah dan kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemilihan Surah Al-Saff yang diangkat dalam program berkenaan mempunyai kaitan dengan kehidupan masyarakat pada masa kini.

Peserta mengalunkan Surah Al-Saff ketika program World #QuranHour di Masjid Mu'adz Bin Jabal pada Selasa.

"Alhamdulillah, kita mempunyai peluang untuk mengadakan majlis khatam al-Quran dan World #QuranHour yang saya kira mendapat sambutan amat menggalakkan terutama daripada golongan muda yang mana kebanyakannya pelajar sekolah.

Iklan

"Tahun ini, Surah Al-Saff telah diangkat untuk diketengahkan dan ia perlu dihayati umat Islam kerana antara kandungan mesej supaya bersatu padu dan mencontohi semangat Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan nilai al-Quran ke seluruh dunia.

"Program ini juga bukan sekadar membaca surah dalam al-Quran tetapi sebenarnya kita dapat memahami dengan lebih mendalam kandungan yang hendak disampaikan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour di Masjid Mu'adz Bin Jabal, Setiawangsa di sini pada Selasa.

Dari kanan; Zakaria, Mohd Amiro Safwan, Aiman Ridhwan dan Azli ketika program World #QuranHour di Masjid Mu'adz Bin Jabal pada Selasa.

Hadir sama, qari antarabangsa, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan; Editor Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Mohd Amiro Safwan Mohd Kamil dan Timbalan Pengerusi Masjid Mu'adz Bin Jabal, Profesor Datuk Azli Halim.

Tambah Zakaria, beliau turut berharap agar penganjuran program berkenaan menjadi punca untuk masyakat khususnya golongan muda mengimarahkan masjid.

Beliau berkata, ia berikutan masalah sosial dalam kalangan anak muda semakin membimbangkan dan akhirnya menyebabkan golongan itu jauh daripada al-Quran.

"Saya harap selepas ini lebih ramai anak muda yang berminat untuk datang ke masjid menyertai program seumpama ini kerana saya kira ini satu peluang untuk menarik mereka.

"Ramai masyarakat sekarang walaupun Islam tetapi penghayatan itu mungkin kurang, jadi saya harap dengan program seperti ini dapat menyebabkan mereka kembali kepada ajaran Islam sebenar dan panduan kita iaitu al-Quran," ujarnya.