KOTA BHARU - Dua tahun menyimpan impian untuk menyertai World #QuranHour akhirnya menjadi kenyataan bagi seorang orang kurang upaya (OKU) separa lumpuh selepas sekian lama mengikuti program itu secara dalam talian.
Meskipun pergerakan Wan Shamila Mat Daud, 54, mencabar kerana terpaksa menggunakan tongkat, dia nekad menghadiri program berkenaan dengan menaiki bas bersama rombongan 50 rakan wanitanya.
"Saya sudah lama mendengar tentang World #QuranHour melalui media sosial dan pernah mengikuti sesi tadabbur al-Quran secara dalam talian.
"Tetapi kali ini saya mahu hadir sendiri untuk merasai pengalaman membaca al-Quran dan bertadabbur secara berjemaah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program peringkat negeri Kelantan di Madinah Ramadan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah World #QuranHour 2025 Negeri Kelantan, Surena Mohd Noor.
Ibu kepada empat anak itu mengalami kecederaan serius akibat kemalangan langgar lari pada 2011 ketika menunggang motosikal di bulatan Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan, Tumpat.
Ketika kejadian, dia mahu masuk ke kawasan parkir sebelum dirempuh motosikal lain dari belakang.
"Tulang belakang saya cedera, tempurung lutut kiri pecah dan tidak boleh dibengkokkan.
"Saya dirawat di unit rawatan rapi selama tiga hari sebelum sebulan setengah di wad biasa Hospital Raja Perempuan Zainab II.
"Kini, kaki kiri saya tidak lagi berfungsi, sendi dan saraf buku lali membengkak, malah saya hanya mampu berdiri selama 10 minit,” katanya.
Dia juga sudah tiga kali khatam al-Quran dengan kali terakhir selesai pada 15 Ramadan lalu, selain mengajar wanita lain dan kanak-kanak di tempat tinggalnya di Pasir Pekan mengaji al-Quran.
"Saya tidak mempunyai kenderaan sendiri menyebabkan sukar untuk hadir ke program ini, tetapi Alhamdulillah, kali ini ada rakan-rakan yang membantu.
"Sebab itu apabila ada bas disediakan, saya terus ambil peluang untuk datang walaupun saya hanya mampu duduk sejam sahaja,” katanya.
Dia berharap terus diberi nikmat kesihatan terhadap separuh badan dan kaki kanan yang masih kuat agar dapat menyertai program sama pada masa akan datang.