Tiada tolak ansur banteras jenayah - Anwar

Iklan
Anwar (tengah) bergambar bersama barisan kepimpinan PDRM semasa Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pulapol Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas tanpa tolak ansur dalam usaha membanteras jenayah mampu menjadikan negara lebih baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencapai banyak kemajuan termasuk usaha dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Iklan
Iklan

"Bila kita bekerja sebagai satu pasukan dengan menyerbu dan bertindak saya dapati itu kejayaan yang sangat membanggakan.

"Berkenaan kes peluru (isu e-waste), itu berkontena dan kalau dicampur semua berpuluhan kontena diseludup masuk. Tentunya bukan berapa bulan dan mungkin bertahun.

Iklan

"Penyeludupan di sempadan mengakibatkan kita (Malaysia) kerugian ratusan juta dan mungkin berbilion ringgit," katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 Tahun 2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Anwar (tengah) hadir Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pulapol Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Iklan

Mengulas lanjut, kata Anwar, jika diteliti kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) baru-baru ini, ia merugikan dan merosakkan masa depan anak muda selain mengaibkan negara.

Kata Anwar, beliau sangat menghargai tindakan tegas dan keras daripada pasukan PDRM.

"Ini harus dilakukan secara konsisten. Saya yakin bila kita bicara tentang rasuah dan tatakelola, sekiranya agensi penguatkuasaan PDRM dan lain-lain secara tegas dan keras untuk satu dua tahun ini tidak tolak ansur, tidak peduli tentang pangkat dan pengaruh mereka (penjenayah), saya yakin suasana iklim negara ini akan lebih baik," ujarnya.

Tambah Anwar, beliau juga dimaklumkan bahawa terdapat beberapa kepimpinan polis yang diugut oleh penjenayah.

"Saya faham risikonya besar dan kita ambil beberapa langkah penting.

"Kalau kita terima ugutan itu, kita sudah menyerah kepada penjenayah atau pengkhianat," katanya.

Tegasnya, ini memerlukan tekad politik kepimpinan termasuk jemaah menteri serta PDRM keseluruhannya.