KOTA BHARU – Dahulu, hidupnya dikelilingi cahaya lampu neon, muzik menggegarkan suasana dan gelak tawa pelanggan kelab malam. Namun, siapa sangka, sehelai wang kertas RM5 yang diterima sebagai sedekah menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidupnya.
Chua Ming Hui, 41, kini dikenali sebagai Muhammad Abdullah Chua, telah enam tahun bergelar mualaf dan mendalami Islam dengan penuh kesungguhan.
"Saya tidak pernah terfikir untuk memeluk Islam, tetapi Allah aturkan jalan terbaik,” katanya semasa ditemui di Majlis Berbuka Puasa Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan di Taman Maju, di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Muhammad Abdullah menghabiskan lebih 10 tahun bekerja sebagai penyanyi kelab malam di Cheras dan Kajang, Selangor.
"Saya menyanyi hampir setiap malam. Itulah sumber pendapatan saya, tetapi kehidupan saya tidak menentu dan penuh perkara yang tidak baik,” katanya.
Namun, kehidupannya berubah ketika dia mencari pekerjaan lain di Kuala Lumpur dan mendengar tentang satu tempat yang mengagihkan sedekah.
"Saya beratur untuk mengambil bantuan. Ketika itu, Ustaz Ebit Lew bertanya sama ada saya ada niat untuk memeluk Islam.
"Saya terkejut, tetapi dalam hati memang ada rasa ingin tahu tentang Islam,” katanya.
Tanpa ragu, beliau berkongsi perkara itu dengan keluarganya, dan mereka tidak membantah.
Sebagai tanda sokongan, Ebit Lew turut memberi RM100, pakaian, kasut serta menyediakan penginapan hotel buat sementara waktu.
"Saya rasa sangat bersyukur. Tak sangka Islam begitu istimewa hingga membuatkan saya benar-benar ingin mengenalinya,” katanya.
Sehari selepas pertemuan itu, beliau mengucap dua kalimah syahadah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor, sekali gus secara rasmi bergelar seorang Muslim.
Sejak memeluk Islam, Muhammad Abdullah nekad meninggalkan dunia hiburan dan kini aktif menyampaikan nasyid berunsur ketuhanan di pelbagai majlis.
"Keluarga saya menasihati supaya berhenti kerana kehidupan di kelab malam memberi kesan yang tidak baik.
"Saya sedar betapa banyak masa saya tersia-sia di sana,” katanya.
Dia kemudiannya mengikuti kelas pengajian Islam selama enam bulan di Pusat Perlindungan Mualaf sebelum melanjutkan pembelajaran di Kompleks Al-Saadah, Negeri Sembilan, bagi mendalami bacaan Al-Quran.
"Sekarang saya sudah menghafal beberapa surah dan sedang memperbaiki bacaan saya,” katanya.
Kini, Muhammad Abdullah menetap di Kota Bharu dan bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah kantin sekolah rendah Islam.
"Hidup saya sekarang jauh lebih tenang dan saya fokus untuk menjadi Muslim yang lebih baik,” katanya.
Walaupun telah memeluk Islam, hubungan dengan keluarganya tetap akrab dan beliau masih menyambut Tahun Baru Cina bersama mereka.
"Islam tidak menghalang saya menghormati keluarga. Kami tinggal bersama, cuma saya asingkan peralatan memasak dan makanan.
"Mereka menerima saya seadanya,” katanya.
Ditanya mengenai perkahwinan, Muhammad Abdullah tidak menolak jodoh tetapi mahu terus memperbaiki diri terlebih dahulu.
"Buat masa ini, saya ingin mendalami Islam dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.